#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Malaysia Desak Sekat Penyalahgunaan Kuasa Veto PBB

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Malaysia mahu penstrukturan semula Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaksanakan bagi menyekat penyalahgunaan kuasa veto, khususnya dalam perkara membabitkan Palestin, jenayah kemanusiaan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penambahan anggota tetap atau tidak tetap dalam Majlis Keselamatan PBB tidak akan membawa perubahan bermakna sekiranya kuasa veto masih boleh digunakan untuk menggagalkan resolusi yang mendapat sokongan majoriti negara.

Menurut beliau, Malaysia sudah bosan dengan keadaan apabila sokongan meluas masyarakat antarabangsa terhadap Palestin tidak mampu diterjemahkan kepada tindakan berkesan akibat penggunaan kuasa veto oleh sebuah negara anggota.

“Malaysia sudah letih, we are really tired of it dan kita tidak mahu lagi keadaan ini berterusan. Yang perlu kita lakukan adalah menstruktur semula Majlis Keselamatan PBB supaya kuasa veto ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Penambahan anggota tetap atau tidak tetap dalam majlis berkenaan tidak memadai sekiranya kuasa veto masih digunakan untuk menggagalkan resolusi berkaitan Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan langkah strategik kerajaan susulan tiga tahun genosid di Gaza bagi memperkukuhkan perlindungan rakyat Palestin, akses bantuan kemanusiaan, pertanggungjawaban antarabangsa serta pembinaan semula Gaza termasuk mekanisme penyelarasan dan pelaporan kepada Parlimen bagi memastikan tindakan tersebut berkesan dan terukur.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan sistem Majlis Keselamatan PBB apabila sokongan daripada sejumlah besar negara masih boleh diketepikan hanya melalui satu undi veto.

“Apa gunanya 160 buah negara menyatakan sokongan, membuat resolusi bersama tetapi akhirnya diveto oleh satu negara dalam Majlis Keselamatan PBB.

“Kuasa veto ini memang susah untuk ditamatkan ataupun dibuang, tetapi kita perlu menyekat penggunaan sewenang-wenangnya kuasa veto ini,” katanya lagi.

Katanya lagi, Malaysia mencadangkan supya penggunaan kuasa veto itu disekat khususnya dalam perkara melibatkan jenayah antarabangsa, jenayah kemanusiaan, genosid dan pelanggaran undang-undang.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata Malaysia turut meneruskan usaha membantu rakyat Palestin menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diuruskan Kementerian Luar Negeri.

“Sumbangan rakyat Malaysia disalurkan melalui badan seperti Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), selain pertubuhan bantuan yang dikenal pasti bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

“Saya mohon supaya rakyat Malaysia teruslah menyumbang kepada akaun amanah ini,” ujarnya. – UMNO Online