#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Malaysia-Mesir Perkukuh Kerjasama Dua Hala

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Malaysia dan Republik Arab Mesir terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi mesyuarat dua hala yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, semalam, bersempena Lawatan Negara Presiden Mesir, TYT Abdel Fattah Al-Sisi ke Malaysia.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir itu membincangkan perkembangan serta kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara dalam beberapa sektor utama.

Menurut beliau, perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan, selain pertukaran pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

“Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan TYT Abdel Fattah Al-Sisi telah membincangkan kemajuan kerjasama dua hala, terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.

“Kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan pada 10 Oktober.

Lawatan negara tersebut mencerminkan komitmen Malaysia dan Mesir untuk memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak 1959, selain meneroka peluang kerjasama baharu yang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.

Hubungan ekonomi Malaysia-Mesir turut menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah perdagangan dua hala meningkat 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, berbanding RM3.08 bilion yang direkodkan sepanjang 2025.

Perkembangan itu sekali gus membuka ruang kepada usaha memperluas kerjasama dalam sektor strategik, termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan, demi kepentingan bersama Malaysia dan Mesir. – UMNO Online