KUALA LUMPUR, 21 Sept – Seramai 368 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berjaya khatam hafazan 30 juzuk sehingga pertengahan tahun ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata setakat ini seramai 4,812 pelajar huffaz daripada MRSM telah dilahirkan dan berjaya memasuki bidang profesional.

Beliau berkata pencapaian itu merupakan sebahagian daripada inisiatif MARA memperkasakan agenda “Memprofesionalkan Huffaz, MengHuffazkan Profesional”.
Katanya, usaha itu bertujuan melahirkan lebih ramai huffaz yang bukan sahaja menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran, tetapi turut mencapai kecemerlangan dalam akademik dan menceburi bidang profesional, terutama berkaitan STEM (sains dan teknologi).
“Selain lapan MRSM Ulul Albab yang menyasarkan semua pelajar hafaz 30 juzuk al-Quran, MARA sudah mula mengambil inisiatif baharu dengan memperkenalkan konsep Ulul Albab mini atau Tamhidi di seluruh 50 MRSM lain.
“Misinya sekurang-kurangnya sebelum tamat Tingkatan Lima, pelajar-pelajar Muslim di MRSM mampu hafaz sekurang-kurangnya lima juzuk,” katanya lagi yang juga Setiausaha Agung UMNO. – UMNO Online