#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Melaka Jadi Tuan Rumah Penganjuran Musyawarah Nasional 3.0

MELAKA, 23 Sept – Melaka akan menjadi tuan rumah penganjuran Musyawarah Nasional 3.0 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini pada 26 Sept ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata seminar bertemakan “Membongkar Polemik Tanah Melayu yang bermula pada 8.30 pagi itu dijangka dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Beliau berkata dialog nasional itu akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh manakala antara ahli panel yang terlibat ialah Pakar Perundangan Perlembagaan dan Undang-Undang Awam Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz dan Pakar Bahasa dan Perpaduan Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.

“Melaka dipilih menjadi tuan rumah Musyawarah Nasional 3.0 kerana negeri ini mempunyai nilai sejarah yang sangat kuat, antaranya Melaka antara pusat penting perkembangan politik, perdagangan, bahasa, budaya dan peradaban Melayu di Alam Melayu.

“Malah, pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman pada 20 Feb 1956 juga dibuat di Padang Banda Hilir, sekali gus menjadikan Melaka destinasi yang tepat bagi membincangkan sejarah Tanah Melayu,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program “Kokenut Shake” Dulu di MELAKAfm di sini hari ini.

Rais berkata Musyawarah Nasional 30 akan menjadi platform bagi membincangkan isu-isu berkaitan sejarah Tanah Melayu, identiti, bahasa, budaya, Perlembagaan dan pembentukan negara.

Beliau berkata seminar berkenaan terbuka kepada masyarakat bukan Melayu yang berminat untuk mengetahui tentang sejarah Tanah Melayu dan pembentukan negara.

Menurut Rais, penganjuran Musyawarah Nasional 3.0 bukan bertujuan untuk menggugat atau mengancam kedudukan mana-mana bangsa tetapi ia adalah satu dialog yang turut dibahaskan oleh ahli panel bukan Melayu.

“Kita mempunyai Perlembagaan yang menjadi tonggak keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini dan dialog nasional ini bertujuan memupuk budaya bermusyawarah dengan membuka ruang kepada pelbagai pandangan, termasuk daripada sarjana Melayu dan bukan Melayu

“Forum ini bukan untuk mencari siapa menang atau kalah dalam hujah tetapi menjadi ruang untuk mendengar, memahami dan mencari titik temu berdasarkan ilmu dan fakta,” katanya. Rais berkata hasil dialog nasional itu akan didokumentasikan, sekali gus membantu masyarakat memahami sejarah berdasarkan sumber yang sahih selain mendekatkan generasi muda dengan sejarah.

Beliau berkata selain itu, gagasan atau cadangan hasil musyawarah berkenaan boleh dikembangkan dalam bentuk penyelidikan, penerbitan, pendidikan, program generasi muda dan wacana susulan. – BERNAMA