#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Melaka Sedia Memimpin Gelombang Baharu Industri Semikonduktor – Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersyukur dapat menghadiri sesi dialog bersama persatuan industri semikonduktor Malaysia pada hari ini.

Menurutnya, sesi dialog tersebut melibatkan pemain industri, pelabur, syarikat teknologi, institusi kewangan, ahli akademik serta rakan strategik dalam sesi libat urus mengenai masa depan industri semikonduktor dan pembuatan berteknologi maju di Negeri Melaka.

“Dalam setiap pertemuan bersama pelabur, timbul tiga persoalan utama iaitu mengapa Melaka, mengapa sekarang dan adakah kerajaan mampu menyediakan persekitaran terbaik untuk kejayaan perniagaan? Jawapan saya cukup jelas, Melaka telah bersedia.

“Kita memiliki asas perindustrian yang kukuh, tenaga kerja berkemahiran tinggi, infrastruktur yang terus diperkasa serta sebuah kerajaan yang komited menjadi rakan strategik kepada setiap pelabur dalam menjayakan agenda pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Seterusnya ulas Ab Rauf, Melaka kini mempunyai lebih 400 syarikat pembuatan termasuk pemain industri bertaraf dunia seperti Infineon Technologies, Texas Instruments, COHU Malaysia, ATX Semiconductor dan Possehl Electronics.

“Ekosistem ini bukan sahaja menyediakan lebih 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran, malah turut menggerakkan lebih 1,000 pembekal, vendor dan penyedia perkhidmatan tempatan yang menjadi tulang belakang kepada rantaian industri negeri.

“Prestasi ini diterjemahkan melalui pencapaian eksport yang amat membanggakan apabila syarikat-syarikat dalam ekosistem tersebut merekodkan nilai eksport sekitar RM31.9 bilion bagi tempoh tahun 2025 hingga suku pertama 2026,” katanya.

Tambahnya lagi, pencapaian ini membuktikan bahawa Melaka bukan sekadar destinasi pelaburan yang diyakini, malah sebuah hab perindustrian berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan rantau.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri Melaka akan terus memperkukuh dasar mesra pelabur, memperkasa bakat tempatan serta membangunkan ekosistem industri yang lebih mampan dan berteknologi tinggi.

“Hasrat kita bukan sekadar menarik lebih banyak pelaburan, tetapi membina masa depan yang menjana peluang, meningkatkan kemakmuran rakyat dan mengangkat Melaka sebagai peneraju industri semikonduktor serta pembuatan maju di Malaysia dan persada antarabangsa,” katanya. – UMNO ONLINE