Majlis Ulama UMNO Malaysia (MUUM) mengambil perhatian terhadap polemik berhubung penggunaan kalimah lighad (لِغَدٍ) daripada Surah al-Hashr ayat 18 oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, khususnya susulan kritikan yang dibangkitkan oleh Senator Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz.
MUUM berpendapat bahawa persoalan ini perlu diperjelaskan berdasarkan disiplin tafsir yang muktabar, di samping memahami perbezaan antara maksud asal sesuatu ayat dengan penghayatan pengajarannya dalam konteks semasa.

1. Memelihara Tafsir Muktabar Sebagai Asas Kefahaman
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hashr, ayat 18:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok (akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan.”
Para ulama tafsir seperti Imam al-Tabari dan Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa kalimah lighad dalam konteks ayat ini merujuk kepada hari akhirat. Ia merupakan peringatan kepada manusia supaya bermuhasabah terhadap amalan dan mempersiapkan bekalan untuk menghadapi hari pembalasan.
MUUM menghormati dan menerima tafsiran tersebut sebagai asas kefahaman terhadap maksud ayat berkenaan.
2. Membezakan Antara Tafsir Ayat Dengan Penghayatan Pengajarannya
Walau bagaimanapun, memahami maksud asal sesuatu ayat tidak bermakna pengajaran dan nilai yang terkandung di dalamnya terhenti pada satu ruang kehidupan semata-mata.
Dalam disiplin memahami al-Quran, perlu dibezakan antara tafsir yang menjelaskan maksud asal sesuatu ayat dengan pengajaran daripadanya untuk diaplikasikan dalam kehidupan keduniaan.
3. Memahami Penggunaan Kalimah Lighad Dalam Konteks Belanjawan 2027
Berhubung penggunaan kalimah ghad oleh YAB Perdana Menteri, MUUM berpendapat pengunaan itu tidak bercanggah dengan maksud perkataan tersebut. Kerana ianya bermaksud untuk mengingatkan tentang tanggungjawab mempersiapkan masa depan negara, menjaga kepentingan rakyat dan memastikan pembangunan hari ini memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Dalam hal ini, Imam al-Qurtubi ketika menghuraikan ayat berkenaan turut menyebut:
وَالْعَرَبُ تَكُنِّي عَنِ الْمُسْتَقْبَلِ بِالْغَدِ
Maksudnya:
“Orang Arab menggunakan perkataan esok sebagai kiasan kepada masa hadapan.”
Penjelasan Imam al-Qurtubi ini memperlihatkan bahawa kalimah ghad dari sudut bahasa Arab turut membawa pengertian masa hadapan (al-mustaqbal), meskipun tafsiran ayat tersebut dalam konteks asalnya merujuk kepada hari akhirat.
MUUM berpendapat bahawa pentafsiran tersebut tidak wajar dianggap bercanggah kerana pengajarannya dikaitkan dengan perancangan masa depan, selagi maksud asal ayat yang merujuk kepada akhirat tidak dinafikan.
MAJLIS ULAMA UMNO MALAYSIA
15 Oktober 2026 / 4 Jamadil Awal 1448H