KUALA LUMPUR, 23 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan kerja ke Bali, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama pembangunan luar bandar antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat desa kedua-dua negara.
Lawatan itu merupakan kesinambungan kepada pertemuan beliau bersama Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Republik Indonesia pada 17 September lalu yang menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pembangunan Luar Bandar antara kedua-dua negara.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, tumpuan lawatan kali ini adalah untuk menterjemahkan persefahaman tersebut kepada bentuk kerjasama lebih praktikal yang mampu memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat desa.
Menurut beliau, antara perkara yang akan diperincikan ialah cadangan pelaksanaan Program Desa Berkembar atau Sister Village bagi membuka ruang kepada komuniti desa Malaysia dan Indonesia berkongsi kepakaran serta memperluas jaringan ekonomi.
“Program ini berpotensi membuka ruang kepada komuniti desa Malaysia dan Indonesia untuk berkongsi kepakaran, membangunkan produk, membina jaringan perniagaan serta memperluas akses pasaran kepada usahawan dan koperasi desa,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri majlis makan malam bersama Wakil Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Republik Indonesia, Bapak Ir. H. Ahmad Riza Patria, Sekretaris Daerah Provinsi Bali, Bapak Drs. Dewa Made Indra serta delegasi Malaysia.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Kementerian Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Republik Indonesia esok bagi membincangkan langkah susulan pelaksanaan MoU berkenaan.
Perbincangan itu turut merangkumi usaha memperkukuh koperasi dan keusahawanan desa bagi memastikan kerjasama yang dirintis dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih luas.
Beliau berharap kerjasama tersebut mampu memberikan impak positif kepada masyarakat desa, termasuk melalui peningkatan pendapatan, peluasan pasaran, pembangunan modal insan dan pemerkasaan komuniti secara menyeluruh.
“Saya berharap kerjasama ini dapat diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai masyarakat desa, sama ada melalui peningkatan pendapatan, peluasan pasaran, pembangunan modal insan mahupun pemerkasaan komuniti secara menyeluruh,” katanya lagi. – UMNO Online