MELAKA, 22 Sept – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini mempengerusikan Mesyuarat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka yang merupakan mesyuarat terakhir sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, esok.
Mesyuarat tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Seri Negeri dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Ab Rauf berkata, mesyuarat berkenaan cukup bermakna kerana ia menjadi penutup kepada satu fasa pentadbiran negeri sebelum Melaka memasuki fasa seterusnya.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh barisan EXCO atas kebersamaan, komitmen, gerak kerja serta kerjasama yang diberikan sepanjang beliau menerajui Kerajaan Negeri Melaka.
“Setiap keputusan yang kita buat, setiap dasar yang kita laksanakan dan setiap langkah yang kita susun, matlamatnya tetap satu iaitu memastikan rakyat terbela dan Melaka terus maju ke hadapan,” katanya.
Menurut beliau, berakhirnya satu fasa pentadbiran tidak bermakna tanggungjawab kepada rakyat turut berakhir.
“Satu fasa mungkin sampai ke penghujungnya, tetapi khidmat kepada rakyat tidak pernah berakhir,” katanya.
Ab Rauf berkata, usaha untuk membangunkan Melaka perlu diteruskan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan negeri yang lebih maju, berdaya saing dan mampan, di samping memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.
“Insya-Allah, kita terus bina Melaka yang lebih maju, berdaya saing, mampan dan yang paling penting, sentiasa dekat di hati rakyat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh barisan EXCO yang telah bersama-sama menjayakan agenda pentadbiran negeri sepanjang tempoh berkhidmat kepada rakyat Melaka. – UMNO Online