HANG TUAH JAYA, 14 Nov – Suasana di Dewan Utama Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam ini bergema dengan laungan dan sorakan penuh kegembiraan apabila penyokong serta pendukung Barisan Nasional (BN) dan rakan kerjasama Perikatan Nasional (PN) meraikan kejayaan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sejak dari awal iaitu selepas penutupan pusat pengundian, dewan berkenaan menjadi dipenuhi sorakan serta tepukan gemuruh menggambarkan kegembiraan penyokong kedua-dua gabungan yang berkumpul bagi menyaksikan detik bersejarah berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membacakan keputusan satu persatu setiap saluran yang telah selesai di setiap DUN dan diumumkan keputusannya secara tidak rasmi.
Kemeriahan itu turut disambut dengan penuh kesyukuran oleh kepimpinan BN yang melihat keputusan berkenaan sebagai satu amanah dan kepercayaan rakyat Melaka untuk meneruskan pentadbiran negeri bersama rakan kerjasama PN.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan rakyat Melaka menerusi keputusan pilihan raya berkenaan.
Turut hadir memeriahkan suasana ialah Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan serta barisan kepimpinan BN yang lain.
Kehadiran pimpinan rakan kerjasama PN turut menambahkan kemeriahan sambutan apabila Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad serta beberapa pemimpin PN turut bersama-sama meraikan keputusan berkenaan.

Laungan ikonik “Kita Geng Biru!”, “Mana Lagi… Melaka Ler!” serta sorakan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional bersahut-sahutan memenuhi ruang dewan, sekali gus mencetuskan suasana penuh semangat dan kegembiraan dalam kalangan penyokong.
Malah, sorakan yang tidak putus-putus menjadikan MITC sebagai tumpuan malam ini, dengan para penyokong terus meraikan keputusan pilihan raya dalam suasana penuh meriah.
Kemenangan itu sekali gus membuka lembaran baharu buat pentadbiran negeri Melaka, dengan amanah yang diberikan rakyat menjadi tanggungjawab kepimpinan untuk diterjemahkan menerusi usaha pembangunan dan kebajikan demi kesejahteraan rakyat.
Sejurus selesai sidang media oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi kemudiannya membacakan doa kesyukuran atas kemenangan berkenaan.- UMNO Online