#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Onn Hafiz Turun Padang, Santuni Warga Simpang Renggam

SIMPANG RENGGAM, 22 Sept – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluangkan masa bersama masyarakat Simpang Renggam menerusi beberapa program yang memberi tumpuan kepada kebajikan, keperluan dan hubungan bersama rakyat.

Beliau memulakan kunjungan dengan menunaikan solat Subuh berjemaah menerusi Program Semarak Subuh di Masjid Bandar Baru Ibrahim Majid, diikuti tazkirah dan sarapan bersama penduduk.

Onn Hafiz kemudiannya menyantuni 100 penerima di DUN Machap menerusi Program Belanja Dapur MAINJ bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian keluarga yang memerlukan.

Beliau turut menghadiri Majlis Penyerahan Borang 5A Lot Generasi Kedua FELDA Layang-Layang kepada lebih 100 penerima, yang disifatkan amat bermakna buat keluarga peneroka yang telah lama menantikan penyerahan tersebut.

“Setiap kali balik ke kawasan, saya akan cuba sebaik mungkin memanfaatkan masa yang ada untuk bertemu masyarakat, mendengar sendiri pandangan mereka dan melihat apa lagi yang boleh kita usahakan bersama,” katanya.

Turut menjadi pengisian ialah Program Jalinan Kasih Sekampung di Laman Simpang Renggam yang memberi ruang kepada beliau bertemu rakyat serta mendengar pandangan dan isu setempat.

Beliau kemudian menghadiri Sambutan Pesta Tanglung di SJKC Tuan Poon sebelum singgah ke Hutan Bandar Simpang Renggam untuk beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung.

Menurut Onn Hafiz, kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat merupakan antara kekuatan Bangsa Johor yang perlu terus dipelihara.

“Insya-Allah, selagi diberi ruang dan kesempatan, saya akan terus turun padang dan bersama-sama warga Simpang Renggam yang saya kasihi,” katanya lagi. – UMNO Online