#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Paras Empangan Machap Susut, Bekalan Air Johor Masih Terkawal

JOHOR BAHRU, 21 Sept – Bekalan air di Johor ketika ini masih berada pada tahap terkawal meskipun paras Empangan Machap menunjukkan penyusutan susulan cuaca panas berterusan sejak awal Ogos lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, berdasarkan unjuran semasa serta langkah mitigasi yang sedang dilaksanakan, bekalan air dijangka mampu bertahan sehingga awal November, bergantung kepada keadaan cuaca dan paras sumber air.

Beliau berkata demikian selepas turun padang ke Empangan Machap bagi meninjau keadaan terkini sumber air mentah serta langkah yang dilaksanakan bagi memastikan kestabilan bekalan air kepada rakyat.

Menurut beliau, paras Intake Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam masih berada pada tahap normal, sekali gus menunjukkan bekalan air ketika ini masih terkawal.

“Pemantauan rapi akan terus dilakukan bagi memastikan bekalan kepada rakyat kekal stabil,” katanya.

Dalam menghadapi keadaan cuaca panas dan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Johor, kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa langkah mitigasi.

Antaranya ialah pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) pada 21 hingga 24 September 2026 di kawasan sasaran, termasuk sekitar Empangan Machap.

Selain itu, sistem pemindahan air mentah ke Ulu Sungai Benut melalui pontun dari Kolam Yong dan Empangan Machap turut diaktifkan, dengan tambahan aliran keseluruhan antara 25 hingga 30 juta liter sehari (MLD).

Kerajaan negeri turut menaikkan ketinggian pintu air di LRA Simpang Renggam bagi membantu mengekalkan paras air di kawasan intake.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri bersama semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keperluan air rakyat terus diberi keutamaan.

“Saya memahami kebimbangan rakyat dalam menghadapi keadaan cuaca ketika ini. Insya-Allah, kerajaan negeri bersama semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dan mengambil segala langkah yang perlu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat supaya menjaga kesihatan susulan keadaan cuaca panas dan jerebu yang sedang melanda beberapa kawasan di negeri itu.

Beliau pada masa sama berharap hujan yang mencukupi dapat turun di kawasan tadahan bagi membantu memulihkan paras Empangan Machap serta melancarkan usaha memastikan kelangsungan bekalan air kepada rakyat. – UMNO Online