#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

PAU 2026 Platform Perbaharui Semangat, Perkasa Wanita Kuasai AI Dan Teknologi Digital

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menjadi platform untuk memperbaharui semangat di samping memperkasa wanita menguasai kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, penganjuran program ‘Voices of HER: Wanita, AI dan Ekonomi Digital’ pada hari ini amat bertepatan dengan musim PAU kerana secara tidak langsung menggalakkan pemerkasaan wanita.

“Sekarang ini apabila kita bercakap mengenai AI, sudah semestinya ia relevan, terutamanya kepada golongan wanita. Sebenarnya, wanita ini kalau diberi peluang untuk menguasai AI dan digital, sudah semestinya kita akan jauh ke hadapan kalau dibandingkan dengan golongan lain.

“Perkongsian daripada ketiga-tiga panel tadi menunjukkan bahawa mereka mempunyai kepakaran masing-masing. Data mengenai penjagaan kanak-kanak (child care) juga boleh membantu untuk wanita itu membuat keputusan. Sebab itu kita menggalakkan supaya wanita ini mempersiapkan diri mereka dengan keupayaan dan kemahiran dalam bidang AI.

“Penganjuran program ini relevan dengan PAU, kerana perhimpunan ini sendiri berkisar mengenai semua perkara. Ini termasuk TVET, AI, keusahawanan dan bermacam-macam lagi yang kita kira dekat dengan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, program tersebut turut menyerikan lagi musim PAU kali ini dengan memperkasa golongan wanita dalam bidang-bidang lain.

“Sepanjang PAU, Wanita UMNO juga mempunyai Laman Wanita Kreatif untuk membantu menggalakkan wanita menjadi usahawan termasuk meningkatkan kemahiran mereka dalam menggunakan AI.

“Kita nak memperkasakan wanita di dalam bidang AI, keusahawanan, pendidikan dan memberi mereka kemahiran yang sebenarnya. Peserta kita bukan hanya dalam kalangan wanita UMNO sahaja, tetapi ia terbuka kepada semua golongan masyarakat dan tidak mengira gender.

“Kita membawa para profesional di dalam program Voices of HER ini untuk berkongsi kemahiran dan pengetahuan mereka. Ini menunjukkan bahawa kita pun memperjuangkan isu-isu wanita ini, kali ini mengenai AI dan teknologi digital. Jadi, hari ini kita nak tunjuk bahawa ini adalah salah satu perjuangan Wanita UMNO,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan agar para perwakilan Wanita UMNO menggunakan pentas PAU untuk memperbaharui semangat juang parti.

“Pada lusa kita akan memulakan PAU dengan persidangan Wanita UMNO. Harapan saya agar mereka menjadikan pentas PAU sebagai platform untuk memperbaharui semangat juang kita dalam UMNO ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah hadir untuk merasmikan program ‘Voices of HER: Wanita, AI dan Ekonomi Digital’ yang diadakan pada Selasa.

Forum tersebut turut menampilkan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kiddocare Sdn Bhd, Nadira Yusoff, Timbalan Dekan Jaringan Antarabangsa, Industri dan Institusi UniKL MIIT, Profesor Madya Ts Dr Bazilah A Talip dan Pengasas Bersama merangkap Pengarah Pelabur Evolve Precision Global, Aida Azreen Ahmad. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman