#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Pelancongan Muslim Pacu Pertumbuhan Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia mahu memanfaatkan sektor pelancongan Muslim sebagai pemangkin kepada perdagangan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, melalui itu setiap kunjungan turut membuka peluang kepada industri halal, usahawan tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti desa.

“Datanglah berkunjung ke Malaysia, tetapi yang lebih penting, marilah bersama-sama membina Malaysia. Pelancongan Muslim kini bukan lagi sebuah pasaran kecil, tetapi telah menjadi antara kuasa penting dalam ekonomi pelancongan global.

“Malaysia pula mempunyai kelebihan tersendiri setelah 11 tahun berturut-turut diiktiraf sebagai destinasi mesra Muslim terkemuka dunia.

“Namun, kita tidak mahu berhenti pada kedudukan dan jumlah pelancong semata-mata.

“Kita mahu setiap kunjungan turut membuka lebih banyak peluang kepada industri halal, usahawan tempatan, perusahaan kecil dan sederhana serta komuniti desa, sekali gus menjadikan pelancongan sebagai pemangkin kepada perdagangan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook selepas merasmikan World Islamic Tourism & Trade Expo (WITEX) Ministers & CEOs Summit 2026 di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Mengulas lanjut ujar beliau platform seperti WITEX akan terus dimanfaatkan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekosistem pelancongan Muslim global.

“Insya-Allah, melalui platform seperti WITEX ini, Malaysia akan terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju ekosistem pelancongan Muslim global yang menghubungkan pelancongan, perdagangan, halal, teknologi dan pelaburan serta membawa manfaat yang lebih luas kepada rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online