JEMPOL, 28 Okt – Keputusan membatalkan sebahagian projek pembangunan luar bandar, termasuk projek bagi tahun 2026 susulan isu penyaluran dana, perlu diberikan perhatian serius agar kepentingan rakyat tidak terjejas, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar yang masih memerlukan kemudahan infrastruktur asas yang berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, pendedahan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen pada Isnin berhubung pembatalan projek berkenaan menimbulkan persoalan yang perlu diperjelaskan secara telus.

Menurut beliau, sekiranya peruntukan bagi sesuatu projek telah tersedia, isu berkaitan penyaluran dana perlu diteliti dan diselesaikan dengan segera supaya projek yang dirancang untuk manfaat rakyat tidak menjadi mangsa kelemahan dalam urusan pentadbiran atau pengurusan kewangan.
“Projek pembangunan luar bandar bukan sekadar angka dalam perancangan atau peruntukan di atas kertas. Ia melibatkan keperluan sebenar rakyat, termasuk jalan raya yang selamat, sistem perparitan yang baik serta kemudahan asas yang menyokong kehidupan dan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.
“Jika sesuatu projek benar-benar diperlukan oleh rakyat, usaha perlu dibuat untuk memastikan pelaksanaannya diteruskan. Jangan sampai projek yang sepatutnya memberi manfaat kepada masyarakat dibatalkan hanya kerana masalah atau kelemahan dalam proses pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan luar bandar perlu terus menjadi keutamaan kerana masyarakat di kawasan berkenaan berhak menikmati kemudahan dan infrastruktur yang setanding dengan kawasan lain.
Dalam perkembangan berkaitan kepentingan infrastruktur setempat, beliau turut melaksanakan rondaan pemantauan jalan raya di beberapa laluan utama sekitar kawasan DUN Jeram Padang susulan aduan yang diterima daripada masyarakat menerusi media social, baru-baru ini.
Antara laluan yang diberikan perhatian ialah Jalan Bahau–Gemas (FT10), Jalan Rompin–Jelai (N20) dan Jalan Bahau–Dangi (N17).
Sepanjang rondaan itu, beliau meninjau keadaan permukaan jalan, kerosakan perabot jalan, struktur cerun dan sistem perparitan, selain mengenal pasti perkara lain yang berpotensi menjejaskan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.
Mohd Zaidy berkata, segala kerosakan dan masalah yang dikenal pasti akan dipanjangkan kepada pihak serta agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab kita bukan sekadar menerima aduan, tetapi turun sendiri ke lapangan untuk melihat keadaan sebenar, memahami masalah yang dihadapi penduduk dan mengusahakan penyelesaiannya.
“Aduan rakyat tidak boleh dipandang ringan. Begitu juga projek pembangunan yang diperlukan masyarakat, ia mesti diberikan perhatian dan keutamaan sewajarnya. Jangan biarkan kelewatan atau masalah pentadbiran berlarutan sehingga keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat terjejas.”
Beliau berkata, rondaan dan pemantauan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan isu infrastruktur di kawasan DUN Jeram Padang mendapat perhatian pihak berkuasa dan agensi pelaksana.
Katanya, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat dan aduan amat penting bagi membantu mengenal pasti masalah di lapangan serta mempercepatkan tindakan pembaikan.
“Pembangunan yang baik ialah pembangunan yang sampai manfaatnya kepada rakyat. Apa yang menjadi keperluan masyarakat perlu diusahakan penyelesaiannya, manakala setiap peruntukan yang disediakan hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online