IPOH, 23 Ogos – Pemuda UMNO Bahagian Tambun terus memperkukuhkan gerak kerja di peringkat akar umbi menerusi penubuhan Jawatankuasa Penaja Pemuda UMNO Cawangan Manjoi Baru.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun, Akmal Zharif Ahmad Kamal berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan merupakan satu langkah penting dalam menghimpunkan golongan muda, menyusun kekuatan serta memperluas khidmat kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penubuhan Jawatankuasa Penaja Pemuda UMNO Cawangan Manjoi Baru, semalam.
Menurut beliau, Pemuda UMNO Bahagian Tambun mengalu-alukan penubuhan tersebut sebagai usaha memperkukuh organisasi dan memastikan gerak kerja anak muda di peringkat cawangan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.
“Semoga amanah dan kepercayaan yang diberikan menjadi titik permulaan untuk membina pasukan yang lebih kuat, tersusun dan dekat dengan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal turut merakamkan tahniah kepada Sdr. Shaifun Nizam atas pelantikan sebagai Ketua Pemuda Penaja UMNO Cawangan Manjoi Baru serta seluruh jawatankuasa penaja yang dilantik.
Beliau turut menghargai kesediaan Ketua UMNO Cawangan Manjoi Baru, Kak Mala, yang memberikan ruang dan peluang kepada golongan muda untuk bersama-sama menggerakkan perjuangan di peringkat cawangan.
Katanya, penglibatan aktif anak muda amat penting bagi memastikan Pemuda UMNO terus relevan dan dekat dengan denyut nadi masyarakat.
“Ini adalah permulaan kepada satu pasukan yang kita harapkan mampu membawa lebih banyak khidmat dan manfaat kepada masyarakat di Manjoi Baru,” katanya.- UMNO Online