KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Sambutan terhadap pendaftaran keahlian UMNO secara dalam talian terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila lebih 18,000 permohonan baharu direkodkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dengan majoritinya melibatkan golongan muda berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkembangan itu membuktikan semakin ramai rakyat, khususnya generasi muda, memilih untuk bersama perjuangan UMNO.

“Luar biasa sambutan pendaftaran keahlian UMNO secara atas talian selepas PRN Negeri Sembilan ini. Kebanyakannya adalah anak-anak muda antara umur 18 hingga 25 tahun. Buat yang berminat boleh layari laman keahlian UMNO di myumno.org,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Berdasarkan statistik yang dikongsikan, kategori Pemuda mencatat jumlah tertinggi dengan 10,080 ahli baharu atau 54 peratus daripada keseluruhan pendaftaran. Ia diikuti kategori Biasa seramai 4,156 orang (22 peratus), Puteri sebanyak 2,288 orang (12 peratus) dan Wanita seramai 2,126 orang (11 peratus).
Screenshot
Peningkatan ketara itu mencerminkan keyakinan rakyat, khususnya golongan muda, terhadap usaha pembaharuan dan agenda perjuangan UMNO yang semakin mendapat perhatian. Pada masa sama, sistem pendaftaran keahlian secara dalam talian dilihat memudahkan lebih ramai rakyat menyertai parti tanpa perlu hadir secara fizikal.
Orang ramai yang berminat menyertai UMNO boleh membuat permohonan melalui portal rasmi myumno.org. – UMNO Online