#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Penerangan UMNO, BN dan Friends of BN Perkukuh Jaringan Komunikasi

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Memperkukuh jaringan, menyelaras gerak kerja dan memperkasakan komunikasi antara parti menjadi fokus utama Majlis Penerangan UMNO bersama Penerangan Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN yang berlangsung di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Program yang julung kali dianjurkan itu bukan sekadar menjadi medan perkongsian maklumat, malah berlangsung dalam suasana interaktif menerusi sesi soal jawab serta pertukaran pandangan secara langsung antara pimpinan dan wakil-wakil parti yang hadir.

Majlis berkenaan disempurnakan dengan kehadiran Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, bersama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sesi yang berlangsung turut memberi ruang kepada peserta mengemukakan persoalan, berkongsi pandangan dan menyuarakan cadangan berkaitan aspek penerangan serta komunikasi, khususnya dalam menghadapi landskap media yang semakin pantas dan dinamik.

Majlis tersebut mencerminkan usaha memperkukuh hubungan antara jentera penerangan UMNO, BN dan Friends of BN, selain menyediakan ruang berterusan untuk perkongsian idea, penyelarasan komunikasi dan pengukuhan jaringan kerja penerangan.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Biro Penerangan MCA, Mike Chong Yew Chuan; Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong; Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, Datuk AK Ramalingam; Biro Media MIC Kebangsaan, Datuk L. Siva Subramaniam.

Ini termasuklah Ketua Penerangan PPP Nasional, Stephen Asecalin V. Fernandez; Presiden MIUP, Tan Sri S. Nalakarupan; Presiden Parti Punjabi Malaysia, Datuk Gurjeet Singh Rhandé; Naib Presiden Makkal Sakti, Datuk Kugeswaran; Wakil Presiden IPF, Mahadevan Ratnam; serta Ketua Penerangan Parti Punjabi Malaysia, Pagdeep Singh Dhillon.

Pertemuan berkenaan turut menjadi platform untuk memperluas jaringan kerja penerangan dengan menghimpunkan wakil daripada pelbagai parti dan organisasi dalam satu sesi perbincangan. – UMNO Online