#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Penerangan UMNO Selangor Perhebat Gerak Kerja Hadapi PRU – Megat Zulkarnain

SHAH ALAM, 11 Okt – Jentera Penerangan UMNO Negeri Selangor perlu memperhebat gerak kerja di peringkat akar umbi dan membuat persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.

Beliau berkata, gerak kerja penerangan tidak boleh hanya tertumpu kepada media sosial, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pendekatan konvensional menerusi pertemuan secara bersemuka bersama rakyat.

“Sebab itu saya meminta Penerangan UMNO Selangor supaya terus turun ke bahagian-bahagian sehingga pilihan raya akan datang.

“Kita bukan sahaja perlu berperang di media baharu, tetapi pada masa yang sama kita mesti mempunyai pendekatan secara konvensional. Kita perlu turun berjumpa rakyat, menyampaikan maklumat dan memastikan penerangan parti sampai ke akar umbi,” katanya.

Menurut beliau, meskipun penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang dalam landskap komunikasi politik, pendekatan bersemuka masih penting dalam membina keyakinan rakyat terhadap parti.

Tambahnya, UMNO Selangor perlu mengambil semangat daripada kejayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan sebagai dorongan untuk memperkukuh parti dan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi PRU akan datang.

“Kita di Negeri Selangor perlu mengambil semangat daripada kemenangan Negeri Sembilan. Sebab itu kita berharap tempias kejayaan tersebut, Insya-Allah, dapat dirasai di Selangor pula.

“Kejayaan di Negeri Sembilan membuktikan kepentingan kerjasama semua pihak, termasuk kepimpinan, calon, jentera parti dan masyarakat setempat dalam mencapai keputusan yang baik.

“Sehubungan itu, hubungan dengan masyarakat akar umbi perlu terus dipelihara, termasuk memahami struktur sosial dan adat setempat yang memainkan peranan penting dalam landskap politik negeri berkenaan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai masa depan UMNO Selangor, beliau berkata parti perlu berani melakukan perubahan, memperkemaskan gerak kerja dan memberikan ruang kepada generasi baharu.

“Kalau kita mahu parti menjadi lebih kuat, kita perlu berani melakukan perubahan, memperkemaskan gerak kerja dan memberikan ruang kepada generasi baharu untuk mengambil peranan.

“Apa yang kita lakukan hari ini akhirnya akan diwarisi oleh generasi kepimpinan selepas kita,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa seluruh jentera perlu terus bekerja, mendengar masalah rakyat, menjelaskan dasar kerajaan dan memastikan suara UMNO sampai kepada masyarakat bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti.

“Negeri Sembilan telah menunjukkan bahawa apabila jentera bekerja dengan baik dan semua pihak bersatu, keputusan yang baik mampu dicapai.

“Kita mahu semangat yang sama dibawa ke Selangor.

“Insya-Allah, dengan kerja keras, kesatuan dan gerak kerja penerangan yang berterusan, kita mampu mengembalikan keyakinan rakyat serta memperkukuh UMNO/BN,” katanya lagi. – UMNO Online