KUALA LUMPUR, 29 Sept – Penerokaan teknologi satelit dan kecerdasan buatan (AI) penting untuk memperkukuh sektor perladangan negara, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Noraini memaklumkan beliau telah berkesempatan mengadakan pertemuan bersama SatSure ketika mengadakan lawatan kerja ke Bengaluru, India pada Isnin.

“Antara perkara yang menarik perhatian saya sepanjang berada di Bengaluru ialah potensi teknologi satelit dan AI untuk membawa perubahan kepada sektor perladangan negara.
“Saya berkesempatan mengadakan pertemuan bersama SatSure bagi meneroka penggunaan data pemerhatian bumi, imejan satelit, penderiaan jauh dan AI, khususnya dalam industri sawit.
“Perbincangan memberi tumpuan kepada potensi teknologi ini untuk memantau kesihatan tanaman, meramal hasil, menilai risiko perubahan iklim serta mengurus sumber dengan lebih cekap,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, pertemuan tersebut turut membuka perbincangan mengenai kemungkinan melaksanakan projek rintis bersama institusi teknikal dan pemain industri di Malaysia.

“Pertemuan bersama Prateep Basu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif SatSure serta Vishal Thiruvedula, Naib Presiden Produk SatSure turut membuka perbincangan mengenai kemungkinan melaksanakan projek rintis bersama institusi teknikal dan pemain industri di Malaysia.
“Saya melihat penerokaan seperti ini sebagai satu langkah penting untuk memperkukuh produktiviti, kemampanan dan daya tahan sektor perladangan Malaysia, di samping membuka ruang perkongsian kepakaran antara Malaysia dan India.
“Turut bersama dalam lawatan strategik ini ialah Shafie Taib, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian, Saravana Kumar Kumaravasagam, Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Johari Minal, Pengarah Bahagian Pembangunan Ekonomi dan Industri MPOB, Belvinder Kaur, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Roshan Martis, Pengurus Serantau MPOC bagi Asia Selatan dan Hasbollah Suparyono, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MSPO,” katanya lagi. – UMNO Online