TANJUNG BIDARA, 31 Okt – Pengalaman dan kecekapan merupakan dua elemen penting yang perlu dimiliki seseorang calon bagi memastikan urusan pentadbiran serta pengurusan masyarakat dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun golongan muda dialu-alukan untuk menyertai pentas demokrasi dan bertanding dalam pilihan raya, pengalaman tetap menjadi faktor penting dalam menentukan keupayaan seseorang menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Jelasnya, proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berjalan lancar apabila segala urusan pendaftaran diselesaikan dengan teratur dan pantas, selain beliau turut mendapat nombor dua pada kertas undi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah menjalankan urusan pendaftaran dengan begitu teratur, terbaik dan cepat.
“Dalam pentas demokrasi di Melaka ini, kita mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk bertanding, sama ada golongan muda mahupun mereka yang lebih berusia.
“Namun, dalam urusan menguruskan masyarakat, pengalaman juga menjadi panduan untuk mengukur kecekapan seseorang dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya kepada media di Dewan Datuk Hj Ab. Karim, Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa keupayaan menguruskan masyarakat memerlukan gabungan pengalaman dan kecekapan agar pentadbiran dapat berjalan dengan baik, sekali gus memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya mengalu-alukan orang muda supaya terus menimba pengalaman dengan lebih baik. Tidak salah orang muda bertanding, tetapi jangan sampai salah memilih,” katanya lagi.
Ab Rauf yang juga penyandang DUN Tanjung Bidara bakal mempertahankan kerusi berkenaan dalam PRN Melaka, dengan membawa pengalaman pentadbiran sebagai antara kekuatan untuk terus mendapat mandat rakyat.
Untuk rekod, BN Melaka mempertaruhkan 21 calon bagi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 687,697 pemilih berdaftar yang layak mengundi bagi PRN Melaka ke-16, berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang diwartakan pada 14 November lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka manakala undi awal pada 10 Nov.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 9 Nov(Jumaat). – UMNO Online