#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Pengalaman Lawatan Kerja Jadi Input Perkukuh Sektor Pertanian Pahang

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Setiap pengalaman daripada lawatan kerja ke Sepanyol akan dijadikan sebagai input untuk terus memperkukuh sektor pertanian Negeri Pahang.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau telah ke Masia de Can Comas, Parc Agrari del Baix Llobregat di Barcelona, Sepanyol, untuk melihat model pengurusan kawasan pertanian dalam persekitaran metropolitan.

“Hari terakhir lawatan kerja saya bersama delegasi Pahang diteruskan ke Masia de Can Comas, Parc Agrari del Baix Llobregat di Barcelona, Sepanyol, bagi melihat model pengurusan kawasan pertanian dalam persekitaran metropolitan.

“Parc Agrari del Baix Llobregat meliputi kira-kira 2,938 hektar dan 14 perbandaran. Apa yang menarik ialah bagaimana kawasan pertanian ini terus dipelihara dan dibangunkan secara tersusun walaupun berada berhampiran kawasan pembangunan bandar Barcelona.

“Di Masia de Can Comas, kami melihat pendekatan yang menggabungkan pertanian, penyelidikan gunaan, teknologi, pemeliharaan varieti tanaman tradisional dan pemasaran hasil pertanian segar untuk pasaran sekitar.

“Antara yang menarik ialah Arboretum Can Comas yang menghimpunkan pelbagai varieti pokok buah-buahan tradisional, di samping kawasan eksperimen bagi menyokong pembangunan sistem pengeluaran pertanian,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pendekatan ‘proximity agriculture’ adalah sangat relevan.

“Pendekatan ‘proximity agriculture’ atau pertanian dekat dengan pasaran pengguna juga sangat relevan, apabila hasil segar seperti sayur-sayuran dan buah-buahan dapat disalurkan terus kepada pengguna bandar.

“Bagi Pahang, pengalaman ini memberikan perspektif bahawa pembangunan pertanian bukan sekadar meningkatkan pengeluaran, tetapi turut melibatkan pemeliharaan tanah, teknologi, penyelidikan, pemasaran, sumber genetik dan peningkatan pendapatan petani.

“Pendekatan tadbir urus bersama antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan, petani dan pihak berkepentingan di Parc Agrari juga menjadi satu contoh yang boleh kita teliti,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai pendekatan yang telah dipelajari akan disesuaikan dengan potensi Pahang.

“Insya-Allah, pendekatan seperti ‘farm-to-market’, pemasaran hasil segar, kawasan eksperimen, pemeliharaan varieti tradisional dan pertanian ‘peri-urban’ akan kita lihat kesesuaiannya untuk disesuaikan dengan potensi Pahang.

“Setiap pengalaman daripada lawatan kerja ini akan kita jadikan input untuk terus memperkukuh sektor pertanian Pahang supaya lebih moden, berdaya saing, mampan dan memberi nilai ekonomi yang lebih besar kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online