AYER LIMAU, 10 Nov – Rekod pembangunan yang dibawa calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Basheer, menjadi antara fokus utama kempen BN-Perikatan Nasional (PN) menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beberapa projek infrastruktur dan kemudahan dilaksanakan sepanjang penggal perkhidmatan Hameed sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk pembinaan dewan orang ramai, naik taraf jeti nelayan serta penambahbaikan jalan dan sistem perparitan.

Jalaluddin turut menyebut antara pencapaian yang telah dinikmati rakyat kawasan ini ialah lima daripada enam dewan orang ramai yang dirancang sudah siap, manakala sebuah lagi masih dalam pembinaan.
“Selain itu, empat jeti nelayan di Ramuan Cina Kecil, Teluk Beremban, Teluk Tembing Urun dan Paya Lebar turut dinaik taraf,” katanya ketika berceramah di Pentas Gelombang Biru DUN Ayer Limau di sini pada malam tadi.
Beliau turut menyebut peruntukan melebihi RM1.5 juta bagi kerja menaik taraf jalan dan sistem perparitan, pemasangan tujuh menara telekomunikasi serta lebih 100 tiang lampu jalan di beberapa kampung dalam kawasan berkenaan.
Turut disebut ialah projek menaik taraf kawasan bulatan Lubuk Cina bagi menangani masalah banjir pula dinyatakan membabitkan kos RM3 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, Jalaluddin turut memaklumkan bahawa kempen BN-PN telah memberi penekanan kepada kesepakatan antara parti komponen bagi memastikan sokongan terhadap calon gabungan itu di kawasan yang ditandingi masing-masing.
“Kedua-dua jentera perlu memberikan sokongan kepada calon BN atau PN mengikut kerusi yang ditetapkan, selain mengetepikan persaingan politik terdahulu demi memperkukuh kerjasama gabungan.
“Gabungan itu turut meletakkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya 25 daripada 28 kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil,” katanya.
Turut hadir Senator Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Hameed. – UMNO Online