#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Pilih BN Terbukti Berkhidmat, Jangan Terpedaya Janji Bulan Bintang

SEGAMAT, 10 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Segamat Datuk Zahari Sarip, mengingatkan golongan pengundi muda dan pengundi kali pertama agar tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis yang tidak mampu ditunaikan seperti yang pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Calon dan juga penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap itu berkata, pengundi khususnya generasi muda perlu membuat keputusan secara matang dengan menilai rekod perkhidmatan serta kemampuan seseorang calon, bukannya dipengaruhi emosi atau tawaran yang hanya indah didengar ketika musim pilihan raya.

“Pengalaman selepas PRU 2018 wajar dijadikan iktibar apabila ramai pengundi muda mengharapkan pelbagai janji dapat ditunaikan, namun akhirnya berdepan kekecewaan.

“Saya pernah bertemu seorang pengundi muda yang mengundi PKR kerana percaya janji penghapusan hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Dia beritahu saya dia dan isterinya mempunyai hutang setiap seorang berjumlah RM30 ribu, dengan menggunakan masa tiga saat untuk memilih, selesai hutang berjumlah RM60,000. Namun akhirnya harapan mereka musnah kerana janji tersebut tidak ditunaikan,” katanya.

Justeru, Zahari berharap pengundi baharu tidak mengulangi kesilapan sama dengan mempercayai janji yang tidak mempunyai asas untuk dilaksanakan.

“Semua orang boleh berjanji, boleh menjanjikan bulan dan bintang. Tetapi persoalannya, adakah mereka mampu menunaikannya?

“Kalau yang pernah berjanji dahulu pun gagal menunaikan janji, saya harap rakyat tidak termakan janji yang sama untuk kali kedua,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat hari ini semakin matang dan bukan sekadar menilai parti, sebaliknya melihat kepada kredibiliti serta rekod calon yang bertanding.

Menurutnya, sepanjang menjadi wakil rakyat, beliau telah membuktikan komitmennya bersama masyarakat termasuk golongan wanita, belia, penduduk kampung dan warga FELDA, bukan sekadar membuat janji ketika musim pilihan raya.

“Saya tidak hanya berjanji, tetapi saya telah membuktikannya melalui khidmat kepada rakyat. Memang masih ada perkara yang belum selesai, namun banyak juga yang telah berjaya dilaksanakan.

“Sebab itu saya berharap pengundi, khususnya anak muda, membuat pilihan berdasarkan rekod dan bukti, bukannya janji semata-mata,” katanya. – UMNO ONLINE