#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Pilih Pemimpin Yang Boleh Berkhidmat, Bukan Tabur Fitnah

JOHOR BAHRU, 6 Julai – Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Nora’shekin Yusof berkata rakyat kini semakin matang dalam membuat pilihan dan lebih cenderung menyokong pemimpin yang mampu menunaikan amanah serta berkhidmat kepada masyarakat berbanding memainkan sentimen fitnah dan tohmahan.

Menurut beliau, pendekatan Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lebih menumpukan kepada rekod perkhidmatan dan pelaksanaan janji maka ia lebih diyakini rakyat berbanding politik yang hanya memburuk-burukkan pihak lawan.

“Saya berpandangan pihak lawan yang sering memburuk-burukkan lawan dan memang itu gaya mereka. Namun bagi BN, kami percaya cara itu bukan lagi pendekatan yang diterima pengundi kerana rakyat boleh menilai siapa yang benar-benar boleh berkhidmat dan menunaikan tanggungjawab.

“Rakyat hari ini lebih bijak. Mereka bukan sekadar melihat kepada janji, tetapi memilih pemimpin yang mampu menepati janji dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena membantu gerak kerja PRN Johor menerusi program Ramah Mesra bersama jentera di Pusat Operasi DUN Larkin, baru-baru ini.

Nora’shekin yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu berkata komitmen Wanita UMNO Wilayah Persekutuan diterjemahkan melalui penugasan jentera sejak hari penamaan calon dan akan terus berada di Johor sehingga hari pengundian.

Katanya, semua jentera UMNO Wilayah Persekutuan termasuk Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri daripada setiap bahagian digerakkan bagi membantu kempen di beberapa kawasan seperti Johor Bahru, Tebrau, Iskandar Puteri dan Pulai.

“Gerak kerja kami melibatkan ziarah kasih, walkabout serta pelbagai sesi pertemuan bersama masyarakat. Kerjasama antara jentera Wilayah Persekutuan dan jentera tempatan juga amat baik dan berjalan seiring sepanjang tempoh kempen.

“Kami yakin calon-calon yang diketengahkan mempunyai kredibiliti dan membawa mandat kerajaan negeri untuk meneruskan agenda pembangunan Johor,” katanya.

Beliau turut menyifatkan sambutan masyarakat terhadap kempen BN sebagai amat menggalakkan, selain berpandangan prestasi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, diterima baik oleh rakyat.

“Kami berharap sokongan yang ditunjukkan masyarakat ini dapat diterjemahkan kepada undi pada hari pengundian nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nora’shekin menyeru seluruh jentera BN agar terus memperkukuh gerak kerja sehingga saat akhir tanpa berasa selesa dengan perkembangan semasa.

“Teruskan menyantuni pengundi sehingga hari terakhir kempen. Kepada masyarakat setempat pula, jangan lupa menterjemahkan sokongan dan kasih sayang kepada Johor dengan mengundi calon-calon Barisan Nasional pada 11 Julai nanti,” katanya lagi.

Turut bersama beliau dalam program tersebut ialah Naib Ketua Wanita Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Wanita UMNO Putrajaya, Husna Abdul Rahaman, Datuk Seri Zurainah Musa (Cheras), Datin Nor Asyikin Jaafar (Lembah Pantai); Ketua Wanita UMNO Wangsa Maju, Datuk Noor Aieni Mohd Ali (Wangsa Maju), Datuk Mar Daing Matrok (Titiwangsa), Muzalina Muhamad (Kepong) dan barisan jentera Wanita tempatan. – UMNO Online