TANJUNG BIDARA, 11 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menegaskan bahawa prinsip keadilan dan kebenaran perlu menjadi asas dalam setiap proses perundangan, termasuk perkara membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, tindakan yang berlaku pada Jumaat lalu menyusul selepas ratusan laporan polis dibuat, sekali gus mengulangi pendirian bahawa sejak awal lagi perkara berkenaan disifatkan tidak adil terhadap Najib.
Menurutnya, proses perundangan yang membabitkan Najib, khususnya berkaitan permohonan menjalani baki hukuman sebagai tahanan di rumah, turut menimbulkan persoalan mengenai aspek keadilan.
“Setelah ratusan laporan polis dibuat, akhirnya apa yang berlaku pada Jumaat lalu sedang dilaksanakan. Sememangnya sejak awal lagi perkara tersebut amat tidak adil.
“Proses mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak juga tidak adil dalam isu membabitkan usaha beliau untuk kembali menjadi tahanan di rumah. Mudah-mudahan kita berharap beliau akan dibebaskan sepenuhnya.
“Najib Razak berani membersihkan diri, tetapi apabila proses mahkamah dan undang-undang negara tidak adil, beliau menjadi mangsa. Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya kepada UMNO Online di sini.
Tambah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Najib tidak melarikan diri dan bersedia membersihkan namanya kerana yakin tidak melakukan kesalahan seperti yang diperkatakan, sebaliknya beliau berpandangan wujud unsur ketidakadilan dalam proses yang dilaluinya.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, berharap isu berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya prinsip keadilan dan kebenaran terus dipertahankan.

“Saya harap perkara ini menjadi pengajaran bahawa kita harus terus memperjuangkan keadilan dan kebenaran.
“Bagi mereka yang merasakan diri tidak bersalah tetapi sudah melarikan diri ke luar negara, timbul persoalan, kalau mereka tidak bersalah, mengapa perlu melarikan diri,” tegasnya. – UMNO Online