JEMPOL, 29 Jun – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyeru seluruh jentera UMNO Negeri Sembilan agar terus bersatu hati dan mengekalkan semangat muafakat bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Beliau berkata, amanat yang disampaikan Presiden UMNO perlu dijadikan pegangan oleh semua peringkat kepimpinan dan jentera parti dalam menghadapi pilihan raya yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan.

Menurutnya, seluruh jentera UMNO Negeri Sembilan perlu bergerak sebagai satu pasukan, bekerja keras dan memperkukuhkan perpaduan demi memastikan parti kembali menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
“Amanat Presiden jelas, pastikan pasukan dan jentera UMNO Negeri Sembilan bersatu hati serta terus mengekalkan muafakat untuk memastikan UMNO Negeri Sembilan mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri ke-16 ini.
“Inilah masanya untuk kebangkitan UMNO Negeri Sembilan. Kita mahu memastikan UMNO kembali menerajui Kerajaan Negeri Sembilan. Insya-Allah, marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan pada 1 Ogos 2026 nanti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan seluruh jentera parti agar menggandakan usaha sepanjang tempoh kempen dengan mendekati pengundi serta memastikan mesej perjuangan UMNO dan BN dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri telah mengadakan Perjumpaan Khas bersama kepimpinan UMNO Negeri Sembilan di sini, semalam.
Ahmad Zahid telah mengingatkan seluruh kepimpinan dan jentera parti agar terus memperkukuhkan UMNO dengan mengutamakan perpaduan, kesepaduan serta semangat bekerja sebagai satu pasukan demi memastikan parti terus diyakini rakyat. – UMNO Online