#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Program SINAR Bantu 1,204 PMKS, Perluas Peluang Tembusi Rantaian Bekalan – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Seramai 1,204 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima manfaat menerusi Program Sokongan Industri dan Perniagaan Rakyat (SINAR) setakat 30 Sept lepas, dalam usaha membantu perusahaan tempatan menangani cabaran ekonomi dan memperkukuh daya saing perniagaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata program yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp Malaysia itu menyediakan akses kepada pembiayaan dan sokongan tambahan kepada PMKS yang terkesan akibat krisis global, khususnya gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos dan bahan api.

Beliau berkata pelaksanaan program itu merangkumi beberapa skim pembiayaan dan bantuan perniagaan bagi membantu PMKS meningkatkan kapasiti serta memperkukuh operasi masing-masing.

“Menerusi Skim Pembiayaan Mudah untuk PKS (SFSME 2.0), sebanyak RM7.12 juta pinjaman diluluskan kepada lapan PMKS daripada peruntukan RM30 juta. Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP) pula meluluskan pinjaman berjumlah RM8.88 juta kepada 18 PMKS daripada peruntukan RM20 juta, manakala Skim Pembiayaan PRESTIGE 2.0 dengan peruntukan RM20 juta memanfaatkan 15 PMKS melalui kelulusan pinjaman berjumlah RM11.53 juta,” katanya.

Mohamad Alamin berkata demikian dalam jawapan KUSKOP di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengenai status pelaksanaan Program SINAR dan mekanisme bagi memastikan PMKS penerima manfaat dapat diintegrasikan dengan lebih berkesan ke dalam rantaian bekalan konglomerat dan GLC.

Selain itu, Mohamad Alamin turut memaklumkanprogram Penskalaan Perniagaan Inklusif dengan peruntukan RM5 juta memanfaatkan 192 PMKS menerusi pemberian geran berjumlah RM4.64 juta dan seramai 971 PMKS turut memperoleh Sijil Status PMKS menerusi tawaran diskaun 50 peratus sehingga Ogos 2026, dengan kemudahan itu diteruskan sehingga 31 Disember tahun ini.

“Diskaun berkenaan membolehkan PMKS mendapatkan sijil pada kadar RM50 berbanding harga asal RM100. Dalam usaha memastikan PMKS penerima manfaat SINAR dapat menyertai rantaian bekalan konglomerat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan lebih berkesan, SME Corp Malaysia melaksanakan pendekatan bersepadu yang merangkumi peningkatan kapasiti, pematuhan standard, pendigitalan serta penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” tambahnya.

Beliau berkata PMKS berpotensi juga boleh dipadankan dengan syarikat peneraju dan GLC bagi membuka peluang sebagai vendor, pembekal serta penyedia perkhidmatan.

“Pensijilan Status PMKS turut membantu memudahkan proses pengesahan kelayakan dan memperluas akses pasaran domestik, termasuk peluang memasarkan produk menerusi rangkaian peruncitan seperti Lotus’s dan Kedai Mesra PETRONAS.

“Sementara itu, Belanjawan 2027 menyediakan sokongan berjumlah RM67.9 bilion bagi pembangunan PMKS melalui pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan, peluasan akses pasaran, pembangunan modal insan serta pendigitalan dan automasi,” ujarnya. – UMNO Online