BATU PAHAT, 7 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri menyifatkan sambutan rakyat sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor amat menggalakkan, dengan pelbagai maklum balas positif diterima hasil rekod perkhidmatan serta inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Menurut beliau, ketika kempen kini hanya berbaki beberapa hari sebelum hari pengundian, seluruh jentera BN di peringkat negeri, Parlimen, DUN dan daerah berada dalam keadaan siap siaga bagi menggerakkan operasi secara menyeluruh sehingga tamat tempoh berkempen.
“Alhamdulillah, perjalanan kempen setakat ini berjalan lancar seperti yang dirancang. Pelbagai program telah kita laksanakan dan kini fokus kita adalah memastikan gerakan jentera parti terus diperkasakan sehingga hari pengundian.
“Semua jentera BN Johor di setiap peringkat telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni penduduk dalam siri kempen di kawasan DUN Parit Yaani.
Mengulas mengenai penerimaan rakyat, Najib berkata maklum balas yang diterima amat positif kerana kebanyakan program yang dilaksanakan sepanjang kempen bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya merupakan kesinambungan usaha yang telah lama digerakkan oleh kerajaan dan wakil rakyat BN.
“Program seperti Jualan Kasih Johor, Semarak Subuh, Bantuan Kasih Johor, Inisiatif Mahasiswa Johor serta pelbagai inisiatif lain memang telah lama dilaksanakan. Sebab itu masyarakat melihat program ini bukan sekadar kempen pilihan raya, tetapi usaha berterusan yang sentiasa kita anjurkan untuk membantu rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, rakyat turut menyuarakan harapan agar pelbagai program kebajikan dan bantuan yang memberi manfaat secara langsung kepada mereka dapat diteruskan sekiranya BN diberi mandat sekali lagi mentadbir negeri.
“Ramai yang merindui dan menantikan kesinambungan program kerajaan Johor seperti Jualan Kasih Johor dan pelbagai lagi inisiatif yang telah membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Semua ini telah diterjemahkan dalam manifesto BN Johor menerusi komitmen memperkukuh Bantuan Kasih Johor, memperluaskan Jualan Kasih Johor, inisiatif Mahasiswa Anak Johor serta pelbagai tawaran lain demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau percaya rekod pencapaian dan kesungguhan BN dalam melaksanakan janji kepada rakyat menjadi faktor utama yang terus meningkatkan keyakinan pengundi menjelang hari pengundian nanti.- UMNO Online