TANAH MERAH, 16 Okt – Program Raudhatul Ummah anjuran UMNO Bahagian Tanah Merah menjadi antara usaha memperkukuh kefahaman agama, perpaduan umat Islam dan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Ulama UMNO Malaysia, Amran Arifin yang hadir mewakili Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad, bersama delegasi Majlis Ulama UMNO Malaysia.
Turut hadir, Pengerusi JABHAH Ilmuwan Muda Malaysia, Mohamad Anas Mohamad Naem yang diberikan ruang untuk memperkenalkan peranan dan hala tuju JABHAH kepada para peserta program.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa penubuhan JABHAH melalui inisiatif Majlis Ulama UMNO Malaysia merupakan antara manifestasi komitmen berterusan UMNO dalam memperkasakan agama Islam melalui penglibatan agamawan muda dan golongan profesional.

“Perjuangan memperkasakan Islam tidak hanya terbatas kepada ceramah dan dakwah semata-mata. Ia turut merangkumi pendidikan, ekonomi, pembangunan masyarakat dan dasar serta pentadbiran negara.
“Sebab itulah JABHAH diwujudkan untuk menghimpunkan agamawan muda dan golongan profesional supaya ilmu serta kepakaran mereka dapat digerakkan bagi membantu menyelesaikan cabaran masyarakat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa JABHAH merupakan platform terbuka kepada golongan berilmu dan berkepakaran tanpa mensyaratkan keanggotaan dalam UMNO.
“JABHAH bukan diwujudkan semata-mata untuk merekrut ahli UMNO. Kita membuka ruang kepada sesiapa sahaja yang mempunyai ilmu, kepakaran dan keinginan untuk menyumbang kepada agama, masyarakat serta negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Anas menyatakan dukungan JABHAH terhadap aspirasi Wahdatul Ummah yang dibawa oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha memperkukuh kesatuan umat Islam.
“Perpaduan umat tidak semestinya bermaksud semua orang perlu berada dalam organisasi atau parti politik yang sama. Sebaliknya, kita perlu mencari titik persamaan untuk bersama-sama memperkukuh agama dan membangunkan masyarakat,” katanya lagi.
Penganjuran Raudhatul Ummah oleh UMNO Bahagian Tanah Merah turut mencerminkan usaha di peringkat akar umbi yang selari dengan aspirasi Wahdatul Ummah, khususnya dalam memperkukuh kefahaman agama dan kesatuan umat Islam. – UMNO Online