KUALA LUMPUR, 23 Sept — Jangan mengamalkan sikap ‘double standard’ apabila berdepan isu sumbangan bagi membantu Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya hormati hak setiap rakyat untuk menentukan sendiri sama ada mahu menyumbang atau tidak.
Demikian tegas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Iqbal Jamal Jamaludin yang menganggap bahawa usaha mendapatkan sumbangan RM50 juta itu adalah atas dasar keikhlasan dan bukannya paksaan kepada mana-mana pihak.
Katanya, mereka yang tidak mahu menyumbang tidak perlu dipaksa, namun pada masa sama tidak wajar mencaci, menghina atau memprovokasi sesiapa yang memilih untuk menghulurkan bantuan.

“Yang nak bagi, alhamdulillah. Yang tak nak bagi, tak payah caci maki. Duduk diam-diam, tak perlu nak ‘provoke’.
“Janganlah ‘double standard’. Kita buat baik sahaja dan bersimpati dengan nasib orang. Nasib kita belum tentu,” katanya.
Menurut Iqbal, perbezaan pendirian politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menafikan hak seseorang membantu individu yang mereka simpati.
Jelasnya, dalam soal sumbangan, prinsipnya mudah iaitu sesiapa yang mahu memberi, berilah secara ikhlas, manakala mereka yang tidak mahu menyumbang tidak perlu berbuat demikian.
“Tidak ada paksaan. Kalau tidak mahu beri, tidak perlu beri. Tetapi jangan sampai orang yang mahu membantu pula dicaci atau diprovokasi.
“Kalau kita tidak bersetuju dengan seseorang pun, tidak bermakna kita perlu menghina orang yang memilih untuk membantu dia,” katanya.
Katanya lagi, isu kutipan sumbangan juga tidak wajar dijadikan alasan untuk mengamalkan ukuran berbeza terhadap mana-mana pihak.
“Bab minta sumbangan untuk membantu membayar denda atau membantu seseorang yang berdepan masalah bukan UMNO sahaja yang pernah buat. Parti lain pun ada.
“Jadi janganlah kita buat seolah-olah perkara ini hanya salah apabila UMNO melakukannya.
“Kalau prinsip kita ialah sumbangan mesti dibuat secara sukarela, maka prinsip itu mesti terpakai kepada semua,” katanya.
Menurut beliau, politik sepatutnya tidak sampai menghilangkan sifat ihsan dan rasa simpati sesama manusia.
“Kita boleh berbeza politik. Kita boleh tidak bersetuju. Tetapi jangan sampai kita hilang sifat kemanusiaan.
“Kalau tak mahu membantu, tidak mengapa. Teruskan kehidupan masing-masing. Tetapi jangan halang atau hina orang yang mahu membantu.”
Beliau berkata demikian mengulas polemik berhubung tindakan UMNO melancarkan tabung sumbangan bagi membantu memenuhi bayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib.
Berkaitan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib, Iqbal berkata masyarakat juga perlu melihat isu berkenaan dalam kerangka undang-undang dan Perlembagaan negara.
Katanya, Najib telah melalui proses kehakiman sehingga disabitkan kesalahan dan kini menjalani hukuman, manakala kuasa pengampunan pula merupakan mekanisme yang diperuntukkan dalam sistem Perlembagaan.
“Datuk Seri Najib sudah melalui semua proses mahkamah, didapati bersalah dan sedang menjalani hukuman penjara.
“Perkenan Tuanku Agong melalui proses pengampunan pula berada dalam ruang lingkup undang-undang negara. Jadi kita jangan campur-adukkan dua perkara yang berbeza,” katanya.
Pada 18 September lalu, dilaporkan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan baki hukuman dijalani di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk bayaran RM50 juta.
Iqbal berkata, isu tersebut menjadi perhatian besar kerana ia melibatkan seorang bekas Perdana Menteri dan tokoh politik yang sangat dikenali.
“Kes Datuk Seri Najib ini berprofil tinggi. Semua orang ambil tahu, sebab itu kecoh.
“Jangan pula apabila perkara yang sama berlaku kepada orang lain, kita boleh terima sebagai sebahagian daripada proses undang-undang, tetapi apabila melibatkan
Datuk Seri Najib, terus kita persoalkan semuanya. Itulah ‘double standard’,” katanya. – UMNO Online