#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

RSN Rayer Jangan Hanya Lantang Isu Zahid, Kenapa Diam Isu Terowong?

SUBANG, 13 Okt – UMNO Bahagian Subang mempersoalkan sikap Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang didakwa lantang membangkitkan isu membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tetapi pada masa sama mempersoalkan mengapa isu Terowong Pulau Pinang tidak diberikan perhatian yang sama.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr. Armand Azha Abu Hanifah berkata, RSN Rayer sebagai seorang peguam dan Ahli Parlimen seharusnya memahami kepentingan menghormati fakta serta membezakan antara pertuduhan, keputusan mahkamah dan keputusan pihak pendakwaan.

Beliau berkata, kesemua 47 pertuduhan membabitkan Yayasan Akalbudi diberikan status Dilepaskan Tanpa Dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi pada 4 September 2023, manakala sebarang perkembangan rasmi selepas itu perlu dirujuk berdasarkan kenyataan pihak berkuasa.

Dalam kenyataan medianya, beliau mempersoalkan mengapa RSN Rayer hanya lantang apabila isu melibatkan pemimpin UMNO dibangkitkan, sedangkan isu lain seperti Terowong Pulau Pinang turut disebut dalam kenyataan tersebut.

“Jangan hanya lantang apabila melibatkan pemimpin UMNO, tetapi berdiam diri apabila isu yang sama perlu dinilai berdasarkan prinsip dan kayu ukur yang serupa.
“Keadilan dan kedaulatan undang-undang mesti terpakai kepada semua pihak tanpa mengira parti politik,” menurut kenyataan itu.

Armand Azha menegaskan bahawa persoalan berkaitan mana-mana isu perlu dinilai berasaskan fakta dan prinsip undang-undang yang sama, bukannya mengikut kepentingan politik.

Beliau turut menggesa RSN Rayer supaya menjaga tutur kata, menghormati institusi Parlimen serta memastikan kenyataan berkaitan kes Zahid berpandukan perkembangan rasmi dan fakta perundangan yang tepat.

“Berbeza pandangan itu hak demokrasi. Tetapi fakta dan undang-undang tidak seharusnya dijadikan alat permainan politik,” tegas beliau lagi.

Terdahulu RSN Rayer telah membangkitkan isu berkaitan Ahmad Zahid di Parlimen semalam dengan mempersoalkan kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi. – UMNO Online