KUALA LUMPUR, 1 Julai – Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber memerlukan strategi khusus agar ia memberi kesan terutamanya di Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar.
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berkata, keperluan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 dengan undang-undang yang lebih berkesan adalah wajar, memandangkan landskap ancaman digital hari ini jauh berbeza berbanding hampir tiga dekad lalu.

“Jenayah siber hari ini bukan lagi sekadar pencerobohan sistem komputer. Ia telah berkembang kepada penipuan kewangan digital, kecurian identiti, penyalahgunaan data, penyebaran imej intim, eksploitasi akaun digital, serangan terhadap infrastruktur kritikal negara dan manipulasi kandungan audio serta visual termasuk teknologi ‘deepfake’.
“Maka, saya melihat RUU ini sebagai satu langkah penting untuk memastikan undang-undang negara kita kekal relevan dengan ancaman semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Parlimen, sebentar tadi.
Ujarnya, pelaksanaan RUU tersebut memerlukan kerajaan untuk memperkukuh mekanisme akauntabiliti memandangkan ia memberi kuasa penyiasatan luas termasuk pemeliharaan data.
“RUU ini memberikan kuasa penyiasatan yang luas termasuk pemeliharaan data, penzahiran data komputer, pengumpulan data trafik masa nyata dan pemintasan data kandungan. Saya memahami keperluan ini, tetapi kuasa yang luas mesti disertai semak imbang yang jelas.
“Maka saya ingin bertanya, adakah kerajaan bersedia memperkukuh mekanisme akauntabiliti bagi kuasa yang paling intrusif ini, termasuk mewujudkan pelaporan berkala kepada Parlimen atau Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai penggunaan kuasa pemintasan dan pengumpulan data masa nyata?” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu kejelasan takrif dan elemen kesalahan berkaitan kandungan yang dijana atau dimanipulasi menerusi sistem komputer, khususnya dalam perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan deepfake.
“Bagi mengelakkan salah guna atau kekaburan dalam pelaksanaan, saya ingin mendapatkan penjelasan Menteri, bagaimanakah RUU ini akan membezakan kandungan dimanipulasi untuk tujuan jenayah dengan kandungan kreatif, satira, parodi atau penyelidikan yang tidak mempunyai niat jenayah?
“…dan adakah Kementerian bercadang mengeluarkan garis panduan pendakwaan serta penguatkuasaan supaya tafsiran di lapangan lebih konsisten?
“Selain itu, kita bercakap tentang ekonomi digital dan keselamatan siber, tetapi realitinya tahap literasi digital, akses internet stabil dan kesedaran rakyat tentang modus operandi scam masih tidak sekata.
“Maka saya ingin bertanya, apakah strategi khusus kerajaan untuk memastikan pelaksanaan akta ini benar-benar berkesan di Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar? Adakah kerajaan bercadang melaksanakan pelan pendidikan nasional anti jenayah siber yang lebih agresif dan tersasar kepada pelajar, warga emas, peniaga kecil, penjawat awam serta komuniti luar bandar?” katanya lagi.
Di samping itu, beliau turut mempersoalkan bagaimanakah RUU ini akan memastikan mangsa jenayah siber tidak lagi berdepan proses rujukan yang berlapis antara pelbagai agensi.
“Terlalu ramai mangsa telah tampil membuat laporan polis, menyerahkan bukti dan butiran transaksi, namun masih berdepan kesukaran kerana aduan mereka perlu dirujuk pula kepada pelbagai pihak seperti MCMC, NSRC, bank, telco atau platform digital, keadaan ini hanya menambahkan beban kepada mangsa.
“Sebab itu saya ingin bertanya kepada Menteri, bagaimanakah RUU ini akan memastikan mangsa jenayah siber tidak lagi berdepan proses rujukan yang berlapis antara pelbagai agensi?
“Jika laporan polis telah dibuat, adakah Kerajaan bersedia menetapkan satu mekanisme yang jelas supaya tindakan susulan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), institusi kewangan dan telco dapat digerakkan secara automatik dan bersepadu, tanpa meletakkan beban penyelarasan itu kepada mangsa?” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa pindaan tersebut mesti diterjemahkan kepada pelaksanaan menyeluruh merentas agensi.
“Jika RUU ini berada di bawah penyelarasan MKN dan Jabatan Perdana Menteri, maka kerjasama pelaksanaan bersama Kementerian Dalam Negeri, PDRM, MCMC, NSRC, bank dan telco mesti diperkukuh secara formal.
“Rakyat tidak mahu melihat pertindihan peranan atau kelewatan tindakan, rakyat mahu apabila laporan dibuat, penguat kuasa bertindak cepat, terselaras dan berkesan,” katanya lagi. – UMNO Online