KUALA PILAH, 20 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata iltizam yang dibentangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini merupakan kesinambungan kepada agenda Tekad Hebatkan Johol yang pernah diperkenalkan pada PRN ke-15.
Menurut beliau, iltizam berkenaan memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu pendidikan, pembangunan, kebajikan, pertanian dan pelancongan, selaras dengan keperluan masyarakat di kawasan.
“Iltizam ini adalah sambungan kepada Tekad Hebatkan Johol yang pernah saya bentangkan sebelum ini. Apa yang dibawa bukan perkara baharu semata-mata, sebaliknya meneruskan usaha dan kejayaan yang telah kita bina sebelum ini.
“Sebab saya melihat keperluan asas di kawasan dengan selalu menitikberatkan berkaitan dengan ilmu, dengan meletakkan ilmu tu dalam iltizam yang pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera BN Johol yang diadakan di Air Mawang, di sini, yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dalam pada itu, sebagai penyandang di kawasan berkenaan beliau turut berkongsi pencapaian yang dilakukan sepanjang perkhidmatan beliau antaranya mempertingkat kemudahan infrastruktur.
Katanya, kemudahan tersebut bukan sahaja meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, malah membantu merancakkan aktiviti ekonomi apabila penduduk selesa bergerak pada waktu malam.
“Alhamdulillah telah banyak mempertingkat kemudahan antaranya lampu-lampu jalan di jalan utama kerana ini penting bagi memberi kemudahan kepada anak-anak Johol yang berulang alik ke Tampin, ke Kuala Pilah, secara langsung juga kegiatan ekonomi itu dapat ditingkatkan.
“Selain itu, saya cukup berbangga dengan pencapaian dalam bidang pendidikan. Jika dilihat, prestasi sekolah semakin meningkat dan daya saingnya turut berjaya dipertingkatkan.
“Sebab saya selalu meletakkan cabaran kepada sekolah, saya bantu tapi cabar sekolah supaya dapat menghasilkan keputusan yang baik.
“Ada sebuah sekolah kecil di luar bandar di sini, dua orang pelajar dapat kesemua A dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Jadi bagi saya kalau di kampung, ia sesuatu yang cukup membanggakan berbanding dengan sekolah di bandar,” katanya.
Untuk rekod, Saiful Yazan pada PRN ke-16 ini berhadapan saingan dua penjuru dengan calon Pakatan Harapan. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib