KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh umat Islam menjadikan sirah, akhlak dan sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman dalam kehidupan sempena sambutan Maulidur Rasul 1448H.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sebaliknya menjadi ruang untuk menyuburkan kecintaan kepada Baginda serta menghayati ajaran dan teladan yang dibawa.

“Marilah kita memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan meneladani sirah, akhlak dan sunnah Baginda sebagai pedoman dalam setiap sisi kehidupan,” katanya menerusi hantaran di media sosial sempena Maulidur Rasul 1448H.
Ahmad Zahid berkata, penghayatan terhadap keperibadian Rasulullah SAW juga penting dalam memperkukuh ukhuwah serta membentuk masyarakat yang saling menghormati, prihatin dan membawa kebaikan kepada semua.
“Semoga sambutan Maulidur Rasul ini terus menyuburkan kecintaan kita kepada Baginda SAW, memperteguh ukhuwah serta mendorong kita untuk menjadi umat yang membawa rahmat dan kebaikan kepada seluruh masyarakat. Insya-Allah,” katanya.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya’, ayat 107 yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” – UMNO Online