HANG TUAH JAYA, 13 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap pengundi membuat pertimbangan secara rasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata ini kerana pilihan yang dibuat bakal memberi kesan terhadap kehidupan mereka dalam jangka panjang.
“Saya sering tekankan bahawa perkara paling penting bukan sekadar hari pengundian pada 14 November, tetapi bagaimana kita meneruskan kehidupan selepas itu. Kalau kita tersalah membuat pilihan, bagaimana keadaan selepas itu?
“Sebab itu, kita perlu membuat pilihan yang tepat supaya selepas pilihan raya, pelbagai urusan dapat diteruskan, khususnya dalam menangani isu-isu tempatan seperti banjir dan permasalahan penduduk setempat.
“Kita perlu melihat tarikh itu sebagai permulaan kepada kehidupan seterusnya. Justeru, kebijaksanaan dan rasionaliti dalam membuat pilihan amat penting,” katanya.
Azalina berkata demikian kepada UMNO Online selepas mengadakan ziarah kasih ke Kampung Pulau Kelapa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) turut diterjemahkan menerusi kepulangan ahli keluarga yang menetap di luar kawasan untuk mengundi.
Katanya kepulangan pengundi luar ke Melaka memberi peluang kepada mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Saya berharap pengundi memberikan sokongan kepada calon BN bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan kerja-kerja yang telah dilaksanakan dapat diteruskan.
“… akhirnya, rakyat dan pengundi sendiri yang akan mendapat manfaat daripada kesinambungan tersebut.
“Pilihan kita mestilah tepat dan dibuat dengan pertimbangan yang sewajarnya supaya tidak timbul penyesalan di kemudian hari,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online