#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Selamat Mengundi Warga Melaka!

MELAKA, 13 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat Melaka agar menggunakan hak mengundi sebaik-baiknya dengan menilai rekod pentadbiran, pencapaian serta perancangan yang ditawarkan oleh parti bertanding menjelang hari pengundian.

Menerusi kenyataan sempena berakhirnya tempoh berkempen, beliau berkata Barisan Nasional (BN) telah menyampaikan segala tawaran dan perancangannya untuk masa depan negeri itu sepanjang kempen berlangsung.

Menurutnya, keputusan kini terletak di tangan rakyat Melaka untuk menentukan hala tuju pentadbiran negeri pada masa hadapan.

“Nilailah rekod pentadbiran, pencapaian dan perancangan yang ditawarkan dengan mengambil kira kebajikan rakyat serta masa depan generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO turut merayu agar rakyat memberikan sokongan kepada calon-calon BN bagi membolehkan kestabilan dikekalkan dan pembangunan negeri diteruskan.

“Saya dengan rendah hati menyeru seluruh warga Melaka agar memberikan sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional. Berikanlah kepercayaan kepada kami supaya kestabilan dapat dikekalkan dan kemajuan Melaka dapat diteruskan demi kesejahteraan seluruh rakyatnya,” katanya.

Beliau turut berharap agar proses pengundian berjalan lancar dan selamat, selain mendoakan supaya keadaan cuaca baik sepanjang hari pengundian.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan sepanjang proses pengundian esok, mengurniakan cuaca yang baik serta memastikan semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online