KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Bersempena bulan kemerdekaan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berbesar hati turun padang menyemarakkan sambutan kemerdekaan menerusi pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan.
Beliau yang jug Ahli Parlimen Tampin berkata inisiatif berkenaan merupakan antara usaha bagi menyemai rasa cinta terhadap negara dalam kalangan masyarakat.
“Alhamdulillah, berkesempatan hadir ke Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kali Ke-3 Mama Nor Tampin sempena Bulan Kebangsaan 2026.
“Program yang cukup bermakna apabila Jalur Gemilang mini diagihkan kepada pengguna jalan raya di hadapan Restoran Mama Nor Tampin, sekali gus menyemarakkan lagi semangat patriotik dan kecintaan kepada negara.
“Terima kasih Mama Nor Tampin atas usaha dan komitmen dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Turut hadir EXCO Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar; ADUN Repah, Koh Kim Swee serta wakil agensi-agensi berkaitan.
Sementara itu menerusi satu hantaran berbeza Mohd Isam turut berkongsi kehadirannya pada Majlis Perayaan Zhong Yuan di Gemencheh, yang disifatkannya menjadi ruang untuk meraikan kepelbagaian budaya masyarakat setempat.
Menurut beliau perbezaan yang wujud dalam kalangan masyarakat perlu diraikan sebagai kekuatan dengan setiap pihak saling menghormati tanpa mengira kaum atau agama.
“Program seperti ini bukan sahaja mengekalkan tradisi dan kebudayaan, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Gemencheh.
“Kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Perbezaan bukan alasan untuk kita berjauhan, sebaliknya menjadi kekuatan untuk kita saling menghormati, memahami dan membantu antara satu sama lain.
“Jika ada yang benar-benar susah dan memerlukan bantuan, tidak kira kaum atau agama, boleh hubungi Pejabat Parlimen Tampin atau Pejabat DUN. Insya-Allah, kita akan cuba bantu sedaya upaya. Kita raikan kepelbagaian, kita kukuhkan perpaduan,” ujar beliau. – UMNO Online