#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Semoga Semangat Wukuf Satukan Hati Kita Dalam Memelihara Keharmonian, Perpaduan

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap agar semangat wukuf di Arafah terus menyatukan hati rakyat Malaysia dalam memelihara keharmonian dan memperkukuh perpaduan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, jutaan jemaah haji berkumpul tanpa mengira bangsa, keturunan, darjat mahupun status untuk melaksanakan rukun haji terpenting iaitu wukuf menjadi ibrah besar yang perlu dihayati.

“Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah setiap tahun merupakan antara tarikh penting dalam Islam. Jutaan jemaah haji berkumpul tanpa mengira bangsa, keturunan, darjat mahupun status untuk melaksanakan rukun haji terpenting iaitu wukuf dan semuanya berpakaian sama, berdiri di bumi yang sama, menghadap Tuhan yang satu.

“Inilah ibrah besar yang perlu kita hayati dari Hari Arafah ini dalam membina negara bangsa dalam konteks Malaysia Madani iaitu sebuah negara diraikan dengan kepelbagaian, diperkukuh dengan perpaduan dan dipimpin dengan nilai ihsan serta hormat antara sesama insan.

“Allah SWT berfirman: ‘Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali (taaruf)…’ (Surah Al-Hujurat, ayat 13).

“Semoga semangat wukuf di Arafah ini terus menyatukan hati kita semua dalam memelihara keharmonian, memperkukuh perpaduan dan membina masa depan Malaysia yang lebih baik untuk seluruh rakyat,” katanya.

Hari ini merupakan Hari Wukuf iaitu acara permulaan ibadah haji apabila jutaan jemaah dari seluruh dunia berhimpun di Padang Arafah untuk menunaikan rukun haji terpenting tersebut.

Perhimpunan besar umat Islam itu melambangkan kesatuan, persamaan darjat dan ukhuwah tanpa mengira bangsa, keturunan serta kedudukan apabila semua jemaah berpakaian ihram dan berdoa kepada Allah SWT di bumi yang sama. – UMNO Online