#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Skuad Sayang 3K Jadi Nadi Sukarelawan PAU 2026 – Hisham Suhaily

KUALA LUMPUR, 7 Sept — Skuad Sayang 3K Kebangsaan menggerakkan 100 sukarelawan bagi memastikan khidmat kebajikan, keselamatan dan bantuan kepada perwakilan serta pengunjung sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 berjalan lancar.

Komandan Skuad Sayang 3K, Hisham Suhaily Othman berkata, penglibatan sukarelawan itu menjadi sebahagian daripada komitmen Skuad Sayang 3K untuk memberikan khidmat terbaik sepanjang berlangsungnya PAU 2026.

“Bermula hari ini, Skuad Sayang 3K telah melaksanakan program ‘Safe at Home’ yang diadakan di Dewan Bilik Perhentian, manakala esok akan menjadi kemuncak penglibatan kita menerusi majlis jamuan minum petang yang akan dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dalam majlis itu juga, Skuad Sayang 3K akan mengadakan acara khas bagi menghargai para sukarelawan di peringkat Parlimen yang telah dipilih mewakili negeri masing-masing.

“Seorang sukarelawan turut akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Sukarelawan Skuad Sayang 3K 2026 sebagai penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan yang diberikan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah beliau, penglibatan Skuad Sayang 3K dalam PAU 2026 bukan sekadar sebagai sukarelawan sebaliknya ia komitmen organisasi untuk memastikan aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.

Hisham yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menjelaskan, Skuad Sayang 3K turut mencipta satu langkah baharu apabila didaftarkan sebagai CDA Skuad Sayang 3K bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).


“Pada majlis tersebut juga akan diadakan penyerahan sijil pendaftaran serta pelancaran CDA Skuad Sayang 3K sebagai satu lagi usaha memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan sukarelawan dalam memberikan bantuan kepada masyarakat,” katanya lagi.

Beliau juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi turut menjelaskan, aspek kesihatan turut diberikan perhatian menerusi program Jom Sihat yang menyediakan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada pengunjung sepanjang PAU 2026.

“Sambutan terhadap program berkenaan pada tahun lalu amat menggalakkan apabila kira-kira 1,200 pengunjung mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

“Jadi, tahun ini kita teruskan lagi program Jom Sihat dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma dan kita turut menambah perkhidmatan khusus untuk wanita seperti ujian Pap Smear dan mammogram.

“Ini merupakan antara penambahbaikan yang kita lakukan supaya lebih ramai pengunjung, khususnya wanita, dapat memanfaatkan kemudahan kesihatan yang disediakan,” ujarnya.

Selain itu, katanya lagi, Skuad Sayang 3K turut menyediakan pelbagai kemudahan dan aktiviti lain termasuk jualan barangan cenderamata, edaran roti dan air kepada pengunjung serta perwakilan yang berada di sekitar lokasi PAU.

“Kita juga mempunyai pasukan keselamatan dan kebajikan yang akan sentiasa bersedia membantu serta memberikan khidmat kepada mereka yang memerlukan sepanjang PAU berlangsung.

“Skuad elit juga akan digerakkan, khususnya barisan keselamatan yang akan bertugas bersama pasukan keselamatan sepanjang program bagi memastikan aspek keselamatan dan kebajikan sentiasa diberikan perhatian,” jelasnya. – UMNO Online