#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

‘Tindakan Norway Batal Eksport Peluru Berpandu Calar Prinsip Perjanjian’

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan tindakan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia mencalar prinsip perjanjian, komitmen dan kepercayaan antarabangsa.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata walaupun isu ini dilihat sebagai pembatalan lesen eksport sebuah sistem pertahanan, namun hakikatnya ia merupakan satu perkara yang jauh lebih besar dan serius.

“Lebih-lebih lagi, perjanjian yang dimeterai adalah perjanjian yang berdasarkan kepercayaan dan persefahaman dua negara untuk melengkapi keperluan pertahanan. Malaysia telah memenuhi segala obligasinya, membuat pembayaran mengikut syarat kontrak dan bertindak secara telus dengan penuh kepercayaan kepada rakan strategiknya.

“Namun, tindakan Norway ini meremehkan dan memandang rendah kepentingan Kerajaan Malaysia dalam hubungan dua hala,” katanya.

Khaled berkata demikian ketika sesi penerangan berhubung isu pembatalan NSM kepada Kerajaan Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau lagi kerajaan Norway sama sekali tidak menghormati semangat persahabatan dan kerjasama yang Malaysia telah tunjukkan selama bertahun-tahun.

Malah lebih membimbangkan katanya, tindakan Norway mewujudkan satu duluan yang sama sekali tidak wajar.

“Sekiranya sebuah negara yang selama ini dilihat sebagai pendukung keamanan yang sinonim dengan Nobel Peace Prize boleh mengenepikan komitmen yang telah dipersetujui, maka adakah komitmen antarabangsa masih boleh diyakini, dipercayai dan dihormati oleh komuniti global?

“Bagaimana kita boleh terus memperkukuh kerjasama pertahanan antarabangsa sekiranya wujud ketidakpercayaan dan keraguan akibat teladan buruk seperti yang Norway tunjukkan?” soalnya.

Sementara itu beliau turut memaklumkan MINDEF pada 18 Mei 2026, telah mengeluarkan Notice of Demand kepada syarikat KDA dengan tuntutan berjumlah 226.1 juta euro, dianggarkan bersamaan RM1.05 bilion.

Katanya jumlah ini bukan sahaja meliputi pembayaran yang telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia, malah turut mengambil kira kerugian langsung dan tidak langsung yang ditanggung oleh Kerajaan akibat pembatalan lesen eksport NSM.

“Berpandukan nasihat Jabatan Peguam Negara, Kementerian akan terlebih dahulu berusaha mendapatkan penyelesaian secara baik bersama KDA. Satu rundingan yang pertama telah pun dijadualkan dan akan berlangsung pada pertengahan bulan Ogos ini.

“Objektif utama rundingan adalah untuk membincangkan status kontrak antara Malaysia dan KDA, serta mencari penyelesaian secara baik terhadap isu yang berbangkit termasuk obligasi kontrak, tuntutan Kerajaan Malaysia dan langkah-langkah susulan yang boleh diambil oleh kedua-dua pihak.

“Keutamaan Kerajaan adalah penyelesaian yang memberikan hasil terbaik, menjimatkan masa dan selari dengan kepentingan negara. Kedua, Kementerian Pertahanan sedang mengambil langkah segera bagi memastikan keupayaan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia tidak terkesan dan terus dipertingkatkan,” ujar beliau. – UMNO Online