KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad meneruskan gerak kerja parti menerusi perjumpaan bersama Ketua-ketua UMNO Cawangan Zon Beruas sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).
Beliau berkata pertemuan tersebut menjadi platform penting bagi menyelaras gerak kerja parti di peringkat akar umbi selain memperkukuh koordinasi dalam kalangan kepimpinan cawangan.
“Saya mengadakan perjumpaan bersama Ketua-Ketua UMNO Cawangan Zon Beruas di Pejabat UMNO Bahagian Beruas.
“Gerak kerja PRU telah dibincangkan termasuk persiapan berkaitan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beruas yang akan diadakan pada hujung bulan hadapan.
“Semoga semua berjalan lancar di dalam meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Sementara itu menerusi perkongsian berbeza beliau turut sama berbesar hati menyertai
program santai bersama Kumpulan Silaturahim Beruas yang menghimpunkan pelbagai komuniti dalam suasana penuh muhibah.
“Saya hadir bersama dengan Kumpulan Silaturahim di Beruas untuk program santai bersama-sama.
“Kepelbagaian juadah yang disediakan dengan penuh kasih sayang oleh semua. Turut diadakan penyampaian pakaian kepada seluruh ahli kumpulan sebagai tanda ingatan dan penghargaan di atas jasa mereka kepada komuniti Beruas.
“Terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Ahmad Wanchih di atas tanda ingatan yang telah dihulurkan dan semoga Kumpulan Silaturahim terus istiqamah berbakti kepada Komuniti Beruas,” ujar beliau. – UMNO Online