#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

UMNO/BN Gubal Dasar, Jaga Kebajikan Dan Angkat Martabat Ibu Tunggal – Shahrizat

BAHAU, 27 Julai – Pengerusi HAWA Malaysia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan bahawa martabat dan kedudukan golongan ibu tunggal di negara ini berjaya diangkat melalui pelbagai dasar serta inisiatif yang diperkenalkan ketika Barisan Nasional (BN) menerajui kerajaan.

Menurut bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, suatu ketika dahulu golongan ibu tunggal sering dipinggirkan dan berdepan masa depan yang tidak menentu, namun hasil perjuangan berterusan UMNO bersama kerajaan BN, pelbagai dasar digubal bagi memastikan kebajikan serta masa depan mereka terus terbela.

“Suatu ketika dahulu ibu tunggal dipinggirkan. Tidak ada maruah, tidak ada darjat, tidak ada pendapatan dan masa depan mereka seolah-olah gelap. Tetapi hasil perjuangan UMNO, Wanita UMNO dan Barisan Nasional, martabat ibu tunggal berjaya diangkat.

“Mereka diberikan bantuan, kemahiran, ilmu, kepakaran dan peluang sehingga hari ini ramai ibu tunggal mampu berdikari serta berjaya membina kehidupan yang lebih baik,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu.

Shahrizat berkata demikian kepada UMNO Online seusai program ramah mesra HAWA Malaysia bersama ibu tunggal di Pusat Daerah Mengundi (PRM) Taman Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri 1 Datin Seri Hamidah Khamis, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Malaysia Datuk Melati Ali dan Bendahari HAWA Malaysia Datuk Norhayati Onn.

Seterusnya ulas Shahrizat, pelbagai dasar dan perundangan yang dilaksanakan sepanjang pentadbiran BN membuktikan komitmen kerajaan ketika itu dalam memperkasakan golongan ibu tunggal agar mampu menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup keluarga.

Sehubungan itu, Shahrizat mengingatkan masyarakat agar tidak melupakan jasa serta rekod perjuangan UMNO dan BN yang sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

“Jangan kita lupa jasa kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat. Banyak dasar dan undang-undang telah digubal untuk membawa kebaikan serta pembangunan kepada golongan ibu tunggal,” katanya.

Dalam masa yang sama, Shahrizat mengajak pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang supaya memberikan sokongan kepada calon BN Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yang disifatkannya mempunyai rekod perkhidmatan baik dan sentiasa dekat dengan masyarakat termasuk membantu golongan ibu tunggal.

Katanya, ibu tunggal merupakan antara kelompok yang memerlukan sebuah kerajaan yang stabil kerana kestabilan politik akan menjamin pertumbuhan ekonomi, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan, bantuan dan peningkatan taraf hidup kepada rakyat.

“Sekiranya ekonomi negara, negeri dan kawasan DUN berkembang dengan baik, golongan ibu tunggal antara yang akan menerima manfaatnya. Sebab itu pilihlah kerajaan yang mampu membawa pembangunan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat,” ujarnya lagi.

Shahrizat turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Ibu Tunggal Malaysia dan Negeri Sembilan atas penganjuran program yang menghimpunkan ibu-ibu tunggal melalui pelbagai aktiviti termasuk pertandingan masakan serta program kemahiran bagi mengeratkan silaturahim dan memperkasa ekonomi mereka.

Terdahulu, Shahrizat bersama Hamidah mengadakan ziarah kasih di beberapa buat rumah yang berada dalam DUN Jeram Padang manakala semalam aktiviti yang sama di DUN Pertang. – UMNO ONLINE