#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Kerajaan Digesa Tarik Balik Pembatalan Projek Luar Bandar

KUALA LUMPUR, 28 Okt – UMNO menggesa Kerajaan khususnya Kementerian Kewangan menarik balik arahan pembatalan projek-projek pembangunan luar bandar yang berkepentingan rakyat, terutama di Sabah dan Sarawak, termasuk pembinaan jalan raya serta penyediaan bekalan air dan elektrik.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu memandang serius keresahan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan susulan pendedahan mengenai projek pembangunan luar bandar bernilai hampir RM8 bilion yang dilaporkan dibatalkan dan ditangguhkan.

“UMNO menggesa agar Kerajaan khususnya Kementerian Kewangan menarik balik arahan pembatalan projek-projek berkepentingan rakyat terutamanya di Sabah dan Sarawak yang melibatkan projek-projek pembangunan luar bandar termasuk jalan luar bandar dan projek bekalan air dan elektrik luar bandar.

“UMNO Negeri Sabah menyatakan rasa gelisah dan resah di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak apabila semalam didedahkan hampir 8 bilion nilai projek-projek berkepentingan rakyat luar bandar di Sabah, Sarawak yang dibatalkan dan juga ada yang ditangguhkan,” katanya pada media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, malam ini.

Mengulas lanjut, kata Dr Asyraf, Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengambil keputusan untuk mengangkat suara rakyat kedua-dua negeri itu menerusi UMNO Sabah yang telah membentangkan isu berkenaan dalam mesyuarat MKT.

“Di peringkat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, kita mengambil keputusan untuk mengangkat suara rakyat Sabah dan Sarawak melalui UMNO Sabah yang membentangkan perkara ini kepada MKT.

“Kita menggesa Kementerian Kewangan supaya mengambil cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu ini, termasuk menarik balik arahan kepada kementerian berkaitan untuk membatalkan projek-projek pembangunan, khususnya di Sabah dan Sarawak yang banyak terkesan,”ujarnya lagi. – UMNO Online