LAHAD DATU, 26 Mei – Sambutan Aidiladha tahun ini bakal diraikan dengan penuh kesyukuran dan semangat kebersamaan apabila UMNO Bahagian Lahad Datu akan melaksanakan ibadah korban melibatkan lapan ekor lembu sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat setempat.
Perkara itu antara agenda yang dibincangkan dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Lahad Datu yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagiannya, Sharif Musa Sharif Mabul, selain persiapan Persidangan Bahagian serta memperbaharui gerak kerja parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut beliau, program korban tersebut bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi simbol perpaduan, pengorbanan dan ukhuwah dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Aidiladha bukan hanya tentang ibadah korban semata-mata, tetapi ia membawa pengertian besar mengenai keikhlasan, semangat membantu dan kebersamaan dalam masyarakat. Sebab itu kita mahu program ini dilaksanakan dengan penuh tertib dan memberi manfaat kepada seramai mungkin penduduk,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata, persiapan bagi program korban itu sedang giat dilakukan termasuk penyelarasan petugas, lokasi penyembelihan serta agihan daging korban kepada penduduk yang memerlukan di sekitar kawasan Lahad Datu.
Dalam masa sama, Sharif Musa turut menekankan kepentingan memperkukuhkan gerak kerja parti di semua peringkat agar jentera UMNO Bahagian Lahad Datu sentiasa bersedia menghadapi cabaran politik semasa dan pilihan raya akan datang.
“Kita mahu seluruh jentera parti terus bergerak secara tersusun dan aktif mendekati rakyat. Semangat kebersamaan yang diterapkan melalui program Aidiladha ini juga perlu diterjemahkan dalam gerak kerja parti demi memastikan perjuangan kita terus relevan bersama masyarakat,” ujarnya.
Sharif Musa turut menyeru seluruh ahli UMNO Bahagian Lahad Datu agar terus mengekalkan semangat sukarelawan dan bekerjasama menjayakan setiap program yang dirancang demi memperkukuhkan hubungan silaturahim serta perpaduan dalam masyarakat. – UMNO Online