JEMPOL, 29 Jun – UMNO Negeri Sembilan mengajak seluruh kepimpinan dan ahli parti di semua peringkat supaya terus merapatkan barisan serta memperhebat usaha menyantuni semua lapisan masyarakat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, mesej itu merupakan antara penekanan utama yang disampaikan Presiden UMNO ketika Perjumpaan Khas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan UMNO Negeri Sembilan.

Menurut beliau, kekuatan UMNO bukan sahaja bergantung kepada perpaduan dalam kalangan ahli, malah keupayaan seluruh jentera mendekati rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
“Antara intipati paling penting yang disampaikan Presiden ialah betapa perlunya kita merapatkan barisan. Kepimpinan UMNO perlu sentiasa menyantuni bukan sahaja ahli-ahli UMNO, tetapi juga seluruh pengundi kerana dalam setiap kawasan, bukan semua pengundi terdiri daripada ahli UMNO. Mesej itu amat penting,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan mendekati rakyat secara menyeluruh perlu terus diperkasakan kerana sokongan masyarakat menjadi penentu kepada kejayaan parti dalam pilihan raya.
Pada masa sama, Jalaluddin berharap seluruh ahli UMNO di peringkat akar umbi dapat menerima dengan hati terbuka siapa sahaja calon yang diputuskan oleh parti demi memastikan kesatuan terus dipelihara menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos nanti.
Katanya, pemilihan calon dibuat melalui proses saringan yang teliti di pelbagai peringkat termasuk di bahagian, Badan Perhubungan Negeri, kepimpinan tertinggi parti serta Presiden UMNO sendiri sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.
“Presiden sendiri menyebut beliau akan melakukan istikharah sebelum membuat keputusan. Ini menunjukkan betapa seriusnya kepimpinan parti untuk memilih calon terbaik bagi setiap kawasan.
“Apabila nama calon diumumkan nanti, semua pihak perlu menerima keputusan itu dan bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan. Formula paling penting ialah kesatuan,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman pilihan raya lalu membuktikan bahawa perpecahan dan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan calon menjadi antara faktor yang menjejaskan prestasi parti.
“Protes dan perbezaan pendapat yang berlarutan hanya akan merugikan parti. Sebab itu Presiden memberi penekanan supaya seluruh kepimpinan dan ahli bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.
Mengulas mengenai PRN Negeri Sembilan, Jalaluddin berkata, UMNO berharap rakyat memberi peluang kepada Barisan Nasional untuk kembali menerajui pentadbiran negeri dengan menawarkan pentadbiran yang lebih baik dan lebih berkesan.
Katanya, selepas dua penggal berada di luar pentadbiran negeri, UMNO telah mengambil iktibar daripada pengalaman lalu dan bersedia tampil dengan pendekatan yang lebih baik demi kepentingan rakyat.
“Saya yakin sekiranya diberi peluang sekali lagi oleh rakyat, Barisan Nasional mampu membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik, lebih berpengalaman dan mampu menawarkan dasar serta perkhidmatan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya lagi. – UMNO Online