PONTIAN, 10 Julai – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata golongan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta ahli-ahli koperasi di Johor terus memberikan maklum balas positif terhadap kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata, sepanjang siri pertemuan bersama usahawan dan ahli koperasi di beberapa lokasi di Johor, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan rata-rata mereka menghargai pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan negeri bagi memperkasa sektor keusahawanan dan koperasi.

Menurut beliau, Datuk Onn Hafiz merupakan seorang Menteri Besar yang sentiasa prihatin terhadap pembangunan usahawan PMKS serta gerakan koperasi menerusi pelbagai bentuk bantuan, pembiayaan dan program pembangunan.
“Kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai dana pembiayaan kepada usahawan melalui Permodalan Usahawan Johor Berhad (PUJB) bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan, selain memperkukuh pembangunan koperasi di seluruh negeri.
“Johor juga merupakan antara negeri terawal yang menyalurkan dana khas kepada gerakan koperasi menerusi peruntukan sebanyak RM3 juta dalam tempoh lima tahun. Ini membuktikan komitmen tinggi kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz dalam memperkasakan sektor koperasi dan keusahawanan,” katanya.
Mohamad berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama usahawan PMKS dan ahli-ahli koperasi di Johor.
Sehubungan itu, beliau menyeru golongan usahawan dan ahli koperasi di seluruh negeri agar terus memberikan sokongan kepada kerajaan yang telah banyak membantu serta memperjuangkan kepentingan mereka, sekali gus memastikan agenda pembangunan ekonomi rakyat dan pemerkasaan sektor keusahawanan di Johor dapat diteruskan.- UMNO Online