MELAKA, 12 Nov – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mempersoalkan tindakan pihak yang terus membangkitkan isu permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak, sedangkan perkara itu merupakan hak yang dijamin oleh Perlembagaan.
Menurut beliau, tiada siapa yang menyuruh Anthony Loke meletakkan jawatan sebagai menteri sebaliknya, perkara itu adalah prinsip parti mereka sendiri.
Beliau menegaskan bahawa dari sudut Perlembagaan, hak Datuk Seri Najib Razak adalah sama seperti individu lain untuk memohon pengampunan

“Perkara itu juga telah dijelaskan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri di Parlimen bahawa semua orang mempunyai hak untuk membuat permohonan.”
Justeru, soalnya mengapa perlu dibantah sesuatu yang merupakan hak dan melalui proses yang dibenarkan?
“Gerakan membantah ini sebenarnya menentang siapa? Adakah mereka menganggap perkara ini sebagai satu pelanggaran, penderhakaan atau pencabulan terhadap kuasa perlembagaan yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong?
“Ini bukan sesuatu yang terkeluar daripada bidang kuasa Perlembagaan. Semuanya berjalan mengikut aturan dan proses yang ditetapkan.
“Apa sebenarnya tujuan mereka terus mempertikaikan perkara ini? Apakah mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat sedangkan semuanya mengikut lunas Perlembagaan?” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana rakyat sedang memerhati keseluruhan isu berkenaan, termasuk tindakan yang boleh dilihat seolah-olah mencabar Perlembagaan serta hak dan kuasa institusi Raja-Raja Melayu.
Tegasnya, Najib bukan dibebaskan, sebaliknya masih menjalani tahanan di rumah.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh sikap seorang pemimpin Dap yang sebelum ini, ketika PRN Johor, pernah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan, namun sehingga kini masih belum berbuat demikian.
“Jangan terlalu lantang mempertikaikan hak orang lain jika prinsip dan pendirian sendiri pun masih belum ditunaikan,” tegasnya lagi.
Terdahulu, pada Selasa Najib pulang ke rumah untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan dalam rumah berkuat kuasa serta-merta. Susulan itu Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta sebagai bantahan terhadap keputusan itu. – UMNO Online